Berita UtamaUtama

Mansuh hukuman mati: Mana hak rakyat?

Suhakam kepincangan pemikiran, gagal fahami konsep hak asasi manusia

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 12 Jamadilawal 1440H, Khamis – Cadangan menghapuskan hukuman mati oleh kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah dibuat tanpa mengambil kira pandangan rakyat, sebaliknya hanya pandangan segelintir pihak, tanpa memikirkan keselamatan nyawa rakyat di negara ini.

Lebih malang apabila cadangan itu mendapat pujian Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), yang kononnya disifatkan selari dengan resolusi Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa penghapusan hukuman mati.

SUHAKAM malah menegaskan, Malaysia dalam masa terdekat akan menjamin hak asasi manusia untuk hidup.

Mengulas perkara itu, Ketua Unit Analisa Isu Nasional, Professional Muslim Community, Muhammad Hazmi Hamzah beranggapan begitu pincangnya pemikiran badan yang mendakwa merekalah pejuang keadilan hak asasi manusia sejagat.

Katanya, Suhakam gagal memahami konsep hak asasi manusia.

“Keadilanlah sangat apabila kesalahan membunuh dikenakan penjara seumur hidup. Pembunuh yang dipenjara itu pula menghabiskan duit rakyat yang sepatutnya digunakan oleh rakyat susah yang memerlukan bukannya penjenayah yang melakukan kesalahan berat.

“Nak kena kepada ahli keluarga sendiri yang mati dibunuh baru mereka yang kononnya pejuang hak asasi manusia ini nak sedar gamaknya. Nyawa hanya sekali sahaja. Tiada yang boleh mengganti nilai nyawa tersebut melainkan dengan nyawa juga,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 1,280 banduan yang menunggu hukuman mati menghuni beberapa penjara di seluruh negara termasuk warga negara asing.

Terdahulu, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan membunuh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya hukuman mati bagi kesalahan membunuh dihapuskan, nyawa rakyat akan terancam kerana akan mewujudkan mentaliti rela dipenjara asalkan dapat kepuasan membunuh orang yang dibenci.

“Jadi, adakah yang dibunuh tidak mempunyai hak asasi untuk hidup dengan menafikan hukuman setimpal kepada pembunuh – iaitu dibalas dengan hukuman mati.

“Adakah nyawa rakyat akan dijamin dan tidak terancam sekiranya hukuman mati ini dihapuskan? Itu yang kerajaan patut fikirkan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close