Berita UtamaUtama

iGuru gesa kerajaan wujud kelayakan standard pengasuh

Pengusaha taska perlu memiliki ijazah sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong cadangan kerajaan Sarawak untuk mewajibkan ujian psikometrik kepada individu yang berhasrat menjadi pengasuh atau pengusaha taska dan tadika.

Sehubungan itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mewujudkan kelayakan standard khusus kepada mereka dari sudut kelayakan sijil.

“Pengusaha atau pengurus tadika perlu sekurang-kurangnya mesti memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, manakala pengasuh pula perlu sekurang-kurangnya memiliki diploma atau siljil yang berkaitan bagi mengelak kejadian seumpama dera berulang semula,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau turut meminta para ibu bapa untuk peka dan pandai memilih tempat asuhan anak serta memastikan pengasuh yang dipilih benar-benar memiliki kelayakan.

“Ibu bapa juga mainkan peranan penting. Selidik terlebih dahulu tempat yang bersesuaian untuk hantar anak. Boleh juga pantau dahulu sebelum buat keputusan,” katanya.

Semalam, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah mencadangkan untuk mewajibkan ujian psikometrik demi menjamin kesesuaian pengusaha dan pengasuh melaksanakan tugas, selain memastikan nyawa bayi dan kanak-kanak tidak terancam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pelaksanaan ujian psikometrik dilaksanakan kepada pengasuh di taska berdaftar dan ia perlu diperluaskan kepada pengasuh individu.

Sementara itu, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr Norsaleha Mohd Salleh turut menyokong cadangan berkenaan dan menggesa kementerian untuk menguatkuasakan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak kepada semua majikan kerajaan dan swasta.

Selain itu, majikan juga, katanya, perlu memperuntukkan masa anjal kepada wanita bekerjaya agar mempunyai masa yang lebih berkualiti bersama keluarga.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close