Berita UtamaUtama

Evangelist di belakang gerakan anti-Islam tanah air

Mufti Terengganu sokong kempen 'Malaysia Negara Islam'

BANGI, 12 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Sikap agresif bukan Islam yang semakin berani mencabar Islam bukan bersifat spontan, sebaliknya di belakang mereka wujud gerakan Kristian Evangelist, kata Pengerusi Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Rushdan Abdul Halim.

Beliau berkata, dahulu, bukan Islam di Malaysia tidak agresif seperti sekarang dalam menentang agama Persekutuan ini dan masih ada keharmonian.

“Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melalui elemen agama, terutama Kristian Evangelist yang pro-Israel, didapati sikap agresif terhadap agama Islam berubah menjadi teruk,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, perkara itu turut menjadi perbincangan ketika beliau bertemu Mufti Terengganu, Datuk Dr Haji Zulkifly Muda bagi menjayakan kempen ‘Malaysia Negara Islam’, Selasa lalu.

“Dalam pertemuan dengan Mufti Terengganu, ada dibincangkan bahawa sudah banyak kajian dibuat, mendapati kebejatan masa kini yang mencabar Islam, bukan bersifat spontan.

Katanya, ada segelintir pihak yang menggunakan nama agama bagi mengaburi mata rakyat, dalam usaha menggerakkan agenda anti-Islam.

“Tiada keraguan lagi, bahawa serangan ke atas agama Islam – bukan sahaja di Malaysia tapi seluruh dunia – digerakkan menggunakan nama agama. Seperti disebut tadi, sayap Kristian Evangelist, yang juga digelar Kristian Zionis kerana keakraban mereka, terbabit dalam gerakan anti-Islam ini.

“Dalam kalangan penganut ideologi ekstremis itu, ada yang kini menjadi ahli politik dengan memegang portfolio penting dalam kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Rushdan berkata, sokongan rakyat Terengganu terhadap kempen ‘Malaysia Negara Islam’ dapat dilihat jelas, terutama melalui kenyataan mufti negeri yang menyokong penuh usaha itu.

“Syukur kerana sejak kempen bermula, momentum dan sokongan di setiap negeri seluruh Malaysia dapat dirasakan, termasuk di Terengganu. Ini dapat dilihat melalui sokongan mufti Terengganu terhadap kempen ini, yang mana beliau menyatakan sokongan penuh.

“Mufti juga komited untuk membantu menyebarkan kempen agar lebih inklusif, supaya lebih ramai umat Islam tanah air bersemangat untuk mempertahankan status negara kita ini sebagai sebuah negara Islam,” katanya.

26 Disember lalu, Isma, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menganjurkan kempen Malaysia Negara Islam, dengan matlamat memperkasa kedudukan Islam di tanah air, di samping berperanan menolak usaha terancang pihak tertentu yang ingin mengubah landskap kenegaraan tanah air.

Petisyen yang digerakkan itu, sehingga semalam berjaya mengumpul 68,520 tandatangan, dan jumlah itu sudah menghampiri sasaran awal 75,000 tandatangan. Orang ramai boleh menyokong usaha ini dengan melayari platform laman web change.org.

Kemuncak kempen yang akan berlangsung selama lima bulan itu, ialah pengumpulan satu juta tandatangan umat Islam seluruh negara, untuk diserahkan bersama memorandum pernyataan hasrat rakyat, bahawa Malaysia mesti dipertahankan sebagai negara Islam, kepada Yang Dipertuan Agong.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close