Berita UtamaUtama

Mufti Negeri Sembilan sokong kempen ‘Malaysia Negara Islam’

Syarak, sejarah, budaya dan Perlembagaan tiang utama kenegaraan

BANGI, 11 Jamadilawal 1440H, Khamis – Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjadi antara individu yang menyokong dan menandatangani petisyen Malaysia Negara Islam (MNI), kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

“Alhamdulillah, sejak kempen itu dimulakan, kita boleh lihat gelombang umat Islam khususnya, yang menyokong usaha pemerkasaan ini.

“Antaranya hari ini, dalam pertemuan dengan Mufti Negeri Sembilan, beliau menyatakan sokongan penuh dan turut serta menandatangani petisyen MNI,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

26 Disember lalu, Isma, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menganjurkan kempen Malaysia Negara Islam, dengan matlamat memperkasa kedudukan Islam di tanah air, di samping berperanan menolak usaha terancang pihak tertentu yang ingin mengubah landskap kenegaraan tanah air.

Petisyen yang digerakkan itu, sehingga hari ini berjaya mengumpul 68,520 tandatangan, dan jumlah itu sudah menghampiri sasaran awal 75,000 tandatangan. Orang ramai boleh menyokong usaha ini dengan melayari platform laman web change.org.

Kemuncak kempen yang akan berlangsung selama lima bulan itu, ialah pengumpulan satu juta tandatangan umat Islam seluruh negara, untuk diserahkan bersama memorandum pernyataan hasrat rakyat, bahawa Malaysia mesti dipertahankan sebagai negara Islam, kepada Yang Dipertuan Agung

Mengulas lanjut, Zainur Rashid berkata, sebagai sebahagian usaha kempen, pertemuan yang berlangsung dengan Mufti Negeri Sembilan itu turut membincangkan pelbagai isu membabitkan kedudukan Islam di Malaysia, termasuk konsep yang diperkenalkan segelintir pihak, yang dilihat mencabar kesucian agama Islam.

“Dalam pertemuan bersama Mufti, ada dibincangkan bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah SWT. Maknanya, kenyataan bahawa semua agama itu sama adalah tidak tepat, menyimpang dan dan sesat.

“Namun orang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka di Malaysia,” katanya.

Zainur Rashid berkata, perbincangan turut menyentuh ancaman mutakhir ini yang sedang melanda tanah air – menyerang kedudukan Islam dari pelbagai sudut.

“Sekarang wujud gerakan agresif yang cuba mengubah wajah sosiopolitik tanah air, untuk menukar Malaysia menjadi negara sekular liberal.

“Apa maksud sekular liberal ini? Maksudnya, acuan Malaysia adalah berkonsepkan sekular, iaitu agama dipisahkan daripada pentadbiran dan liberal, iaitu fahaman dan ideologi yang condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang ultra demokratik, termasuk menentang hak-hak istimewa Raja-Raja,” katanya.

Hal ini, katanya, harus dijelaskan kepada seluruh umat Islam di tanah air, kerana jika gerakan ini tidak dicantas dikhuatiri kesucian dan keistimewaan agama Islam yang dipelihara dari sudut syarak, sejarah, budaya dan Perlembagaan Negara akan terancam.

“Kita harus cakna, bahawa Malaysia ini hakikatnya adalah negara Islam dan bukan negara berkonsepkan sekular, liberal dan ultra demokrasi. Buktinya, empat tiang utama kenegaraan – syarak, sejarah, budaya dan Perlembagaan – dengan jelas memaparkan bahawa negara ini adalah negara Islam.

“Umat Islam harus mempertahankan perkara ini, dan bukan Islam pula harus menghormatinya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close