Berita UtamaUtama

Tiada kes rabies babit manusia di Taiping, Bukit Gantang

Wanita 50 tahun, seorang lelaki jadi mangsa gigitan anjing positif rabies

BANGI, 10 Jamadilawal 1440H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes rabies dalam kalangan manusia dikesan di Taiping dan Bukit Gantang setakat ini, walaupun ia diwarta sebagai kawasan jangkitan wabak berkenaan pada 14 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perwartaan itu susulan daripada empat ekor anjing daripada kawasan terbabit disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat dua mangsa yang telah digigit anjing peliharaan keluarga mereka pada 25 Disember lalu, membabitkan wanita berusia 50 tahun dan seorang lelaki berusia 25 tahun.

“Kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 25 Disember 2018 dan discaj pada 26 Disember 2018 selepas menerima rawatan bagi kecederaan yang dialami.

“Anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya pada 3 Januari 2019 dan sampel daripada anjing berkenaan disahkan positif rabies pada 4 Januari 2019 oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

“Berikutan itu, mangsa gigitan telah diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin. Status kesihatan kedua-dua mangsa gigitan ini terus dipantau dan buat masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan rabies,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, termasuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies.

Dr Noor Hisham berkata, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close