Utama

Isma merafak sembah tahniah pemasyhuran Sultan Pahang ke-6

Islam akan lebih berkembang, kuat di bawah pemerintahan Sultan Abdullah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 9 Jamadilawal 1440H, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, merafak sembah tahniah kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang yang keenam, hari ini.

Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sikap dan perwatakan mesra serta peramah baginda sangat disenangi rakyat dan pasti akan menjadikan pemerintahan Sultan Abdullah ke atas negeri Pahang lebih makmur.

“Sebagai penaung kepada agama Islam dan seorang yang komited dalam memperkasakan agama Islam, kami yakin bahawa Islam akan lebih berkembang dan lebih kuat di bawah pemerintahan baginda kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sultan Abdullah, 60, dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang yang keenam bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang sedang menerima rawatan intensif di Institut Jantung Negara (IJN).

Permasyhuran baginda itu selepas mendapat persetujuan kerabat diraja dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Istiadat pemasyhuran dan angkat sumpah dan lafaz ikrar sebagai Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di Pekan, adalah anak keempat daripada tujuh beradik, dan anak sulung lelaki hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close