Dunia

Krisis Sudan: 180 mayat dikebumi tanpa diketahui identiti

Seluruh Khartoum tiada bekalan air, hospital tak berfungsi

KHARTOUM, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Pertempuran berdarah di dua wilayah Sudan – Khartoum dan Darfur memaksa sukarelawan untuk mengebumikan 180 mayat tanpa mengenal pasti identiti mereka.

Sejak pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) meletus pada 15 April, sukarelawan telah mengebumikan 102 mayat tidak dikenali di tanah perkuburan Al-Shegilab di ibu negara dan 78 lagi di tanah perkuburan di Darfur.

Kedua-dua ketua tentera, Abdel Fattah Al-Burhan dan timbalannya yang bertukar menjadi musuh, komander RSF, Mohamed Hamdan Daglo, telah mengeluarkan ikrar berulang kali untuk melindungi orang awam dan mengamankan koridor kemanusiaan.

Tetapi sukarelawan Bulan Sabit Merah, disokong oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, keadaan sangat sukar untuk bergerak melalui jalanan bagi mengambil mayat kerana kekangan keselamatan.

Dalam rundingan gencatan senjata di Arab Saudi bulan lalu, pihak yang bertelagah bersetuju membolehkan Bulan Sabit Merah Sudan dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa untuk mengumpul, mendaftar dan mengebumikan mayat dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa yang berwibawa.

Tetapi kedua-dua pihak terus melanggar dan tidak menghormati peraturan yang ditetapkan, sekaligus menyebabkan perjanjian gencatan senjata yang diusahakan AS dan Saudi runtuh sama sekali.

Seluruh daerah di ibu negara sudah tidak mempunyai bekalan air, manakala bekalan elektrik hanya tersedia untuk beberapa jam seminggu dan tiga perempat daripada hospital di zon pertempuran tidak berfungsi.

Keadaan ini amat teruk di wilayah barat Darfur, yang menempatkan kira-kira satu perempat penduduk Sudan dan tidak pernah pulih daripada perang dua dekad yang dahsyat menyebabkan ratusan ribu maut dan lebih dua juta kehilangan tempat tinggal.

Beratus-ratus orang awam terkorban, kampung dan pasar dibakar dan kemudahan bantuan dirompak, mendorong puluhan ribu mencari perlindungan di negara jiran Chad.

Lebih daripada 1,800 orang telah terbunuh dalam pertempuran itu, menurut Pertubuhan Pengesan Konflik (ACLED).

Agensi perubatan dan bantuan berulang kali mengatakan bahawa jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi, kerana kebanyakkan jumlah mayat ditinggalkan di kawasan yang tidak dapat dihubungi. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button