Berita UtamaUtama

Pegawai ILP tendang motosikal pelajar diarah cuti, disiasat

Institut Latihan Perindustrian mohon maaf, bayar ganti rugi

KOTA BHARU, 7 Jamadilawal 1440H, Ahad – Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini akan menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pegawainya menendang motosikal yang diletakkan di pekarangan surau institusi itu dua hari lepas.

Pengarahnya, Zainudin Ahmad berkata, susulan itu pegawai terbabit telah diarahkan bercuti selama seminggu bagi mempermudah siasatan.

“Kami juga menyarankan beliau membuat ujian saringan stres di hospital,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, pihak ILP juga terkejut dengan tindakan pegawai itu yang mula berkhidmat pada 2012 kerana beliau seorang yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

Klip video yang memaparkan perbuatan pegawai berkenaan tular di media sosial dan dipercayai berlaku selepas ada pelajar melanggar arahan agar tidak meletakkan kenderaan dalam kawasan ILP bagi mengelakkan kesesakan pada pada hari pendaftaran.

Rakaman berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai itu menendang tiga motosikal yang diletakkan di kawasan itu sehingga jatuh, tular di media sosial sejak petang semalam.

Lelaki terbabit dikatakan berbuat demikian ketika sesi pendaftaran pelajar lama selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mereka meletakkan motosikal di kawasan itu. Perbuatan itu dirakam oleh seorang pelajar yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, pihaknya juga sudah melaporkan perkara berkenaan kepada ibu pejabat Jabatan Tenaga Manusia.

“Saya serta pihak pengurusan ILP Kota Bharu memohon maaf atas tindakan tidak wajar pegawai kami hingga menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan,” katanya.

Katanya, pihak ILP juga akan membayar ganti rugi kerosakan motosikal pelajar terbabit serta berharap masyarakat berhenti menularkan klip video berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis masing-masing dibuat oleh suspek dan juga seorang daripada mangsa.

Katanya, polis juga telah mengambil keterangan suspek yang hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata kesat. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close