Berita UtamaUtama

Indera Khairul Dzaimee Ketua Pengarah Imigresen baharu

Jamil Rakon kekal Timbalan Setiausaha Pengurusan KDN

BANGI, 7 Jamadilawal 1440H, Ahad – Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baharu, berkuatkuasa esok.

Pelantikan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Indera Khairul Dzaimee, 47, memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Beliau berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

“Di samping itu, beliau juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri pada Julai 2018 hingga 13 Januari 2019,” kata Alwi.

Menerusi kenyataan sama, Alwi turut mengumumkan Datuk Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN.

“Kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai ini akan dapat memperkukuhkan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.
 
 
 
 
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close