Berita UtamaUtama

Bekas timbalan pengarah, pekerja swasta dibebas hari ini

Suspek dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan RM2,000 seorang

PUTRAJAYA, 7 Jamadilawal 1440H, Ahad – Bekas Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan dan seorang pekerja swasta, yang direman bagi membantu siasatan berhubung menerima suapan berjumlah RM270,000 bagi mendapatkan projek berkaitan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan kedua-dua lelaki berusia 42 dan 43 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan RM2,000 seorang dan seorang penjamin.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.00 pagi dengan berpakaian biasa dan tangan bergari.

Kedua-kedua individu itu sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat hari bermula Khamis.

Suspek dipercayai menerima suapan daripada pekerja syarikat berkenaan sebagai balasan ke atas kelulusan projek yang dianugerahkan kepada syarikat terbabit.

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua suspek ditahan di sebuah pusat membeli-belah sekitar Putrajaya sehari sebelum itu dipercayai berkaitan penerimaan wang tunai berjumlah RM50,000, iaitu baki jumlah wang rasuah sepatutnya diterima suspek.

Jelasnya, suspek didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terlibat sebagai ganjaran kerana menganugerahkan projek berkenaan.

USP adalah satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close