Berita Utama

Polis siasat kes al-Quran dibuang

8 individu telah dirakam percakapan bantu siasatan

BANGI, 7 Syaaban 1444H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat penemuan naskhah al-Quran yang dibuang di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

Beliau berkata, setakat ini, lapan individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang masih berlangsung.

“Masyarakat dinasihat agar tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.

“Pihak berkuasa sedang berusaha bagi memastikan pelaku dalam kejadian ini dapat dikesan dan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl berkata, PDRM dan agensi berkaitan akan sentiasa memantau serta mengambil tindakan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara.

“Dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melupuskannya, sewajarnya mendapatkan nasihat daripada pihak Jabatan Agama Islam tempatan sebelum pelupusan dibuat.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung siasatan ini, boleh menghubungi balai polis yang berdekatan untuk menyalurkannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button