Berita UtamaIstimewaUtama

VIDEO | ARUS PEMBUNUH

Pengunjung pantai perlu waspada terhadap ombak di pantai

BANGI, 7 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Selagi tidak kering air di lautan, selagi ada daratan, selagi itulah ombak akan menghempas pantai. Lalu terbitlah kata-kata bijaksana walaupun maksudnya berbeza – ‘sekali ombak menghempas pantai, sekali itu juga pasir berubah’.

23 Rabiulakhir lalu, tragedi menyayat hati berlaku apabila tiga beradik berusia antara lima hingga 10 tahun lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di Pantai Teluk Lipat, Dungun.

Difahamkan ombak terlalu besar dan menarik mangsa ke arah laut.

Di seluruh dunia, kerap kali kita dengar berlaku kejadian lemas ketika pengunjung pantai sedang bermandi manda atau sesetengahnya hanya berjalan di pantai sambil bermain ombak, tetapi tiba-tiba ditarik air yang kembali ke laut.

Bagi kawasan pantai yang kerap berlaku kejadian lemas, sesetengahnya membawa cerita bahawa tempat berkenaan ‘berhantu’.

Ya! Mungkin ada kebenaran di sebalik cerita itu kerana lautan pun adalah salah satu tempat tinggal Iblis sebagaimana dalam hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan Imam Muslim.

Tetapi mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ombak yang menghempas pantai juga menjadi punca kejadian mati lemas di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Lorong arus simbar (warna hijau) yang terbentuk ketika air yang kembali ke laut bergerak kiri dan kanan.

Sekali imbas jika diperhati kepada ombak yang menghempas pantai, tiada apa yang berlaku. Ombak tiba di pantai kemudian kembali semula ke laut.

Ketika itulah kita tidak menyedari bahawa pada masa ombak pecah dan air kembali ke laut, terbentuk satu lorong akibat daripada arus berputar kiri dan kanan.

Ianya digelar arus simbar atau ada juga yang mengenalinya sebagai arus tempur dan arus pecah. Dalam bahasa Inggerisnya ialah ‘rip currents’.

Arus inilah yang dengan pantas menarik sesiapa sahaja yang lemah atau tidak pandai berenang, walaupun mereka ketika itu berada separuh lutut sahaja di dalam air.

Atau kadang kala kita melihat kanak-kanak meniarap di gigi air di tepi pantai membiarkan ombak menghempas mereka, tanpa menyedari air itu kemudian berputar kiri kanan dan bertembung ketika hendak kembali ke laut, lalu membentuk lorong arus simbar, dan mereka akan ditarik dengan kuat ke arah laut.

Simbar adalah arus yang kuat dan berlaku di semua pantai. Arus ini mewujudkan lorong khas air kembali ke laut, melewati garis pecah ombak.

Lorong arus simbar boleh dikesan dengan memerhati secara teliti di tepi pantai, iaitu apabila terdapat seolah-olah kawasan lapang memisahkan dua garis ombak.

Kadar aliran arus simbar biasanya 0.5 meter per saat (1 kaki per saat – 2 kaki per saat). Kelajuannya boleh berubah sepantas 2.5 meter per saat (8 kaki per saat), iaitu lebih pantas berbanding perenang Olimpik atau perenang yang mahir.

Ia berlaku apabila garis puncak ombak tiba selari dengan garisan pantai, ada dua kemungkinan arus dominan yang terbentuk di pantai. Pertama, jika tiada penghalang di zon luncur, arus yang terbentuk ialah aliran balik biasa. Tetapi, kedua, jika ada banyak penghalang bukit pasir dan celah di zon luncur, aliran arus simbar mungkin berlaku ketika air kembali ke laut.

Aliran arus simbar ini boleh bergerak ke lokasi berlainan mengikut perubahan pantai, sehingga berpuluh-puluh meter sehari. Arus ini boleh terjadi di mana-mana pantai dengan ombak pecah, termasuk lautan, laut, dan tasik besar.

Tonton video untuk mengetahui bagaimana arus ini berlaku dan bagaimana mengesannya.

Langkah keselamatan paling berkesan untuk mengetahui arus simbar ini adalah mencari kedudukannya ketika ombak menyerbu pantai dan air kembali ke laut, serta berenang di kawasan yang ditetapkan.

Pihak berkuasa juga perlu menyelidik kawasan pantai yang menjadi tumpuan pengunjung, di mana kedudukan arus simbar dan memasang bendera atau tanda amaran.

Pada masa sama orang ramai perlu diberi maklumat lengkap mengenai arus pembunuh ini, supaya mereka lebih berhati-hati ketika mandi manda di pantai.

Tonton video bagaimana untuk mengatasi arus simbar

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close