Berita UtamaIstimewaUtama

Tengku Abdullah Sultan Pahang Ke-Enam

Istiadat pemasyhuran di Istana Abu Bakar 15 Januari

BANGI, 7 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Dalam pada semua pihak tertanya-tanya mengenai khabar angin Pahang akan memperoleh Sultan baharu, laungan ‘Daulat Tuanku’ yang mengakhiri satu mesyuarat di ibu negara semalam, secara tidak langsung mengesahkan Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah akan dilantik menggantikan ayahanda baginda.

Ini kerana pada kebiasaannya laungan ‘Daulat Tuanku’ hanya dikhususkan kepada seseorang raja dan dalam istiadat tertentu sahaja, seperti pertabalan raja-raja.

Petang tadi, rakyat Pahang mendapat berita gembira apabila Tengku Abdullah diumum menggantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Pahang Ke-Enam.

Pengumuman mengenainya dibuat Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar.

Penyerahan takhta kepada Tengku Abdullah berkuat kuasa serta-merta, dan istiadat pemasyhuran akan diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan, 15 Januari ini.

Sebelum ini, Tengku Abdullah memangku tugas Sultan Ahmad Shah sejak 28 Disember 2016, susulan keadaan kesihatan Sultan Pahang yang tidak mengizinkan.

Tengku Abdullah adalah anakanda keempat dan putera sulong kepada Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan, diputerakan pada 30 Julai 1959 di Pekan.

Baginda berkahwin dengan puteri ketiga Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dikurniakan lima cahaya mata – tiga putera dan dua puteri.

Semalam, Tengku Abdullah mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri selama lebih tiga jam di ibu negara, berbincang mengenai pelantikan pengganti Sultan Ahmad Shah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close