Berita UtamaUtama

Lampu lambang salib: Kerajaan Pulau Pinang kena bertindak, usah berdolak-dalih

Pemaju atau sesiapa yang terbabit perlu dipanggil untuk siasatan

BANGI, 7 Jamadilawal 1440H, Sabtu – “Tidak ada pilihan atau berdolak-dalih dan kerajaan negeri tak perlu takut dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan atau menggugat keharmonian kaum, sama ada secara sengaja atau tidak.”

Demikian gesaan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berhubung isu isu pancaran cahaya lampu yang mempamerkan lambang salib, di bangunan Grace Residence, Jelutong.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menangani isu berkenaan kerana telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Katanya, sama ada tindakan itu disengajakan atau tidak, tindakan segera perlu diambil.

“Ini bukan soal kita enggan bertoleransi. Apa yang berlaku terlalu mencolok mata sehingga boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat. Tindakan segera perlu diambil baik pemaju mahupun sesiapa yang terbabit mesti dipanggil untuk siasatan lanjut.

“Kerajaan negeri mesti akur dengan saranan mufti kerana tiada pilihan untuk berdolak-dalih,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian mengulas kegusaran umat Islam berhubung gambar yang tular di media sosial, menunjukkan lambang salib besar dipamerkan pada sebuah bangunan di tengah-tengah kawasan Jelutong.

Lambang salib berkenaan bukan berbentuk fizikal, namun dalam pancaran cahaya, dan lebih jelas kelihatan dari jauh pada waktu malam, kerana dipasang di bangunan tinggi.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan kerajaan negeri belum menerima maklum balas daripada pihak pemaju, dan berharap penjelasan akan diberikan.

Bagaimanapun katanya, beliau difahamkan bangunan yang mempamerkan lambang salib berkenaan adalah projek pangsapuri belum siap, selain CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan) bangunan terbabit masih belum diperoleh.

“Kontraktor mungkin dalam proses uji kemudahan, termasuk lampu dan kita masih belum dapat penjelasan pemaju tentang kenapa lampu itu sebegitu rupanya. Saya percaya ia bukan bangunan rumah ibadat, sebaliknya untuk dihuni,” katanya.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mahu kerajaan negeri menangani isu berkenaan secara cermat dan bijaksana mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Katanya, pihak berkuasa perlu menyelidiki terlebih dahulu adakah kejadian ini sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan sahaja.

“Perlembagaan Persekutuan melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close