Utama

Dakwaan ceroboh perairan: Singapura tangguh mesyuarat JMCIM

Menteri Besar Johor tegaskan lawatan dilakukan untuk hantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan, bukan provokasi negara jiran

BANGI, 6 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Singapura menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM), yang sepatutnya berlangsung esok.

Keputusan itu dibuat susulan insiden pencerobohan kapal Malaysia di perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu.

The Straits Times memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar Singapura (MFA) hari ini melaporkan, penangguhan yang diputuskan negara jiran itu dipersetujui pihak Malaysia.

“Pencerobohan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke wilayah perairan Singapura di Tuas pada 9 Januari lalu membuatkan Mesyuarat JMCIM kali ke-14 tidak dapat dipertahankan (untenable).

“Susulan itu, Singapura mencadangkan untuk menangguhkan Mesyuarat JMCIM dan Malaysia bersetuju,” katanya.

Terdahulu, portal Singapura itu melaporkan, lima kapal kerajaan Malaysia berlayar di perairan negara itu pada Rabu lalu, jam 6 petang.

Laporan berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura, menunjukkan kapal dinaiki rombongan Osman melawat kapal MV Pedoman.

Bagaimanapun Osman, dalam catatan di Facebooknya berkata, kenyataan yang dtularkan media luar itu dilihat adalah cubaan untuk mengelirukan masyarakat, kerana kawasan yang dilawati bukan di dalam perairan Singapura.

Katanya, lawatan yang dilakukan tidak berniat untuk provokasi negara jiran, sebaliknya bertujuan untuk menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas, yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

“Kawasan yang dimaksudkan bukan di dalam perairan negara itu (Singapura) kerana kita melawat pasukan yang bertugas untuk menjaga sempadan, dan mereka itu juga masih berada di dalam negara, jadi dakwaan itu hanya satu cubaan untuk mengelirukan semata-mata,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close