Berita UtamaUtama

3,808 premis makanan di Perak tidak letak tanda larangan merokok

Kementerian pertimbang kuatkuasa larangan rokok di hotel, pusat dobi

IPOH, 7 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan Perak ke atas 6,265 premis makanan sejak awal tahun ini mendapati 3,808 daripadanya tidak memasang tanda larangan merokok di premis mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, 4,185 notis amaran mengenai pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam pemeriksaan itu, dan 86 individu pula dikesan merokok di premis makanan semasa penguatkuasa menjalankan operasi ‘educational enforcement’ sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, premis yang didapati ingkar terhadap arahan memasang notis kawasan larangan merokok boleh dikenakan saman RM3,000 atau penjara tidak lebih enam tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi kesalahan gagal memastikan orang ramai tidak merokok di tempat makan, pemilik premis boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

“Kita harap orang ramai berhenti merokok, jika tidak pun kurang merokok di depan orang ramai, atau merokok di kawasan lapang,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di pasar siang malam, hari ini.

Perintah larangan merokok pada mulanya dikuatkuasa di bangunan Parlimen, sebelum diikuti larangan di premis menjual makanan mulai tahun ini di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, dan selepas itu pihak kementerian dikatakan turut sedang menimbang kemungkinan menguatkuasa larangan berkenaan di kedai-kedai dobi dan hotel.

Dalam tempoh enam bulan pelaksanaan larangan merokok di premis-premis menjual makanan, penguatkuasa kementerian kesihatan tidak akan mengenakan kompaun, hanya mengeluarkan surat-surat amaran, dan selepas tempoh itu sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000, atau dipenjara sehingga dua tahun. –  Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close