Berita UtamaKomuniti

101 murid asnaf dapat bantuan

Yayasan Ikhlas, Isma, masjid salur RM20,000

SUBANG JAYA, 7 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Seramai 101 murid asnaf menerima sumbangan berjumlah RM20,000 daripada pertubuhan peduli dan prihatin, Yayasan Ikhlas pada Majlis Penyerahan Kit Bantuan ke Sekolah (KBKS) 2019, hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Seminar Masjid Al-Falah USJ 9, itu dibuat dengan kerjasama di antara Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Subang Jaya, Wanita Isma Subang Jaya, Masjid Al-Irsyad USJ 1 dan Surau Madaniah USJ 18.

Pengarah program, Fidzuan Kassim berkata, 71 daripada penerima sumbangan adalah kanak-kanak daripada Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong.

”Manakala 30 yang lain adalah kanak-kanak daripada kawasan sekitar Subang Jaya dan juga Shah Alam,” katanya.

Majlis Penyerahan KBKS itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Isma Subang Jaya, Haji Azman Bakri.

Antara sumbangan yang diterima murid asnaf dalam majlis ini adalah beg sandang, alat tulis, buku nota serta wang tunai berjumlah RM100.

Ini adalah kali keempat Yayasan Ikhlas menganjurkan program itu yang menyasarkan 1,550 pelajar miskin seluruh Malaysia.

Program itu adalah inisiatif tahunan Yayasan Ikhlas dalam menyalurkan sumbangan orang ramai bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Sementara itu, Haji Azman berkata, beliau mahu penganjuran program seperti KBKS diteruskan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, Subang Jaya adalah bandar yang terdapat paling ramai penduduk di Malaysia, dan 35 peratus daripadanya adalah umat Islam.

”Pun begitu, masih ramai di sini yang berada di dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

”Tentunya, banyak sumbangan kita perlu buat di sini untuk membangunkan ummah. Agar akhirnya orang Melayu di Subang Jaya ini dapat kita angkat ke ufuk yang lebih tinggi dan dapat menerajui Islam di Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihak Isma dan rakan kerjasama berharap agar program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa hadapan.

“Kita mahu menggembleng tenaga umat Islam yang berada di sekitar Subang Jaya, supaya tidak lagi berada di bawah,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada orang ramai sehingga dana sebanyak RM20,000 berjaya dikumpulkan.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close