Berita Utama

Sokong LGBT umpama kembalikan wanita ke zaman jahiliyah

Wanita perkasa bila ikut fitrah kejadian, bukan samakan dengan golongan songsang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Pihak yang memperjuangkan hak golongan songsang hakikatnya bukanlah memperkasakan wanita, sebaliknya mengembalikan wanita ke taraf yang rendah seperti zaman jahiliyyah.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, wanita itu perkasa apabila ia mengikut fitrah kejadiannya. 

“Wanita itu perkasa apabila dia menjaga jatidirinya dan akhlaknya. Wanita itu perkasa apabila dia menjalankan peranannya di rumah sebagai isteri dan ibu. 

“Tidak perlu disamakan dengan lelaki kerana sifat, kejadian dan keperluan yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau kesal terhadap pihak cuba menghidupkan kembali suara yang mengangkat ideologi songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara terang-terangan di Women’s March Malaysia 2023 yang diadakan bersempena Hari Wanita Antarabangsa, baru-baru ini.

Walhal, tegas Dr Suriani, LGBT bukanlah budaya masyarakat Malaysia malah sangat bertentangan dengan Islam.

“Justeru kita tidak perlu gentar dengan tuntutan dan suara golongan LGBT dalam hal ini.

“Memperkasakan wanita bukanlah dengan menuntut persamaan hak seperti yang mereka laung-laungkan di dalam perarakan itu. 

“Mereka salah dalam memperkasakan dan mengangkat darjat wanita jika menganggap apa yang mereka perjuangkan untuk golongan songsang itu satu perkara betul,” katanya.

Sebelum ini, penganjuran perhimpunan Hari Wanita ‘Women’s March Malaysia 2023’ mencetuskan kemarahan orang ramai selepas golongan songsang dengan ‘berani’ muncul mempromosikan agenda mereka.

Tular foto menunjukkan beberapa aktivis perarakan berkenaan mengangkat bendera LGBTQ di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Slogan ‘Imagine if men are disgusted with rape as with periods’, ‘Child not pride’, ‘Trans woman are woman’ dan ‘Police your behaviour not my body’ jelas terpampang pada plakad di dalam perhimpunan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button