Berita UtamaUtama

‘Tauke Cina sedang cari tanah kerajaan bagi pihak anak sultan’

Kadir Jasin kata institusi raja adalah ciptaan manusia dan tidak lengkap

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 5 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menter, Datuk A Kadir Jasin mendedahkan terdapat seorang tauke Cina kini sedang mencari tanah milik kerajaan, kononnya bagi pihak anak seorang sultan.

Tokoh Wartawan Negara itu bagaimanapun, mengakui telah memberitahu perkara berkenaan kepada seorang Menteri Besar.

“Saya baru saja bagi tahu seorang Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) mengenai dakwaan bahawa seorang tauke Cina sedang mencari tanah kerajaan di sebuah pulau kononnya bagi pihak anak seorang sultan,” katanya.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai tanah berkenaan, Kadir mengingatkan perlunya ada teguran dan peringatan, tidak kira siapa mereka.

Mengaitkan laporan media yang mengatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, masing-masing bersetuju berterus terang dalam hal isu tertentu, Kadir berkata, institusi raja sebagai sebahagian daripada ciptaan manusia tentulah tidak lengkap.

“Raja tidak maksum. Kalau kita berpegang kepada ajaran al-Quran, kita tahu yang tidak seorang pun daripada kita terlepas daripada melakukan kesalahan. Oleh yang demikian kita perlu saling menegur dan memberi peringatan. Hanya Rasulullah maksum.

“Misalnya, kalau kita tahu ada tauke cuba rasuah raja kita atau ada orang yang pergi merata tempat cari tanah kerajaan kononnya bagi pihak raja, isteri raja dan anak raja, kita kena bersuara,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.

Paling penting Kadir berkata, semua pihak perlu berhati-hati, lebih-lebih lagi dalam zaman internet dan media sosial ini.

Katanya, jangan diingat rakyat tidak tahu apa yang berlaku, seperti kisah ‘pengorbanan dan keberanian’ dua orang kakitangan awam wanita yang mengambil risiko besar menyimpan laporan asal Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun diarahkan untuk memusnahkannya.

“Hasil tindakan berani mereka itu kini kita tahu bahawa laporan yang dibentangkan di Parlimen telah dipinda atas arahan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri.

“Adalah kesilapan besar bagi para pembesar kita, termasuk raja-raja, menganggap bahawa rakyat jelata tidak tahu apa yang berlaku pada musim panas yang lalu,” katanya.

Pada masa sama, Kadir mengingatkan sebarang cadangan untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina institusi Raja-Raja hendaklah dibuat dengan cara yang tidak menunjukkan kebodohan diri sendiri.

“Baru-baru ini ada pihak yang dilaporkan menggesa agar kerakyatan orang yang dituduh menghina Raja-raja dilucutkan. Kalau silap sikit kita lucutkan kewarganegaraan, akhirnya tidak banyaklah warganegara kita yang tinggal. Lagipun, rasanya bukanlah mudah untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang.

“Kita bukan negara diktator atau negara raja berkuasa mutlak yang boleh lucut kewarganegaraan atau campak seseorang ke dalam laut dengan sesuka hati. Sebagai negara raja berperlembagaan, kita hanya dibenarkan bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

“Jadi apabila kita membuat cadangan janganlah keterlaluan atau bercanggah dengan Perlembagaan sehingga kita nampak tidak cerdik dan antidemokrasi,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close