Berita UtamaIstimewaUtama

Selepas dibebas Lokman Adam tetap kata kerajaan lindungi pembunuh Adib

Pemantau dakwa miliki dokumen penukaran dapatan hasil bedah siasat Muhammad Adib - daripada mati akibat dipukul - kemungkinan ditukar menjadi mati akibat dilanggar kenderaaan

BANGI, 5 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang baharu beberapa jam lalu dibebaskan daripada tahanan polis, tetap dengan pendirian bahawa ada pihak atasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) disyaki terbabit melindungi pembunuh Muhammad Adib Mohd Kassim.

Anggota bomba berusia 24 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada malam 9 Rabiulakhir lalu, selepas bertarung nyawa selama 21 hari, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Pada awal pagi 19 Rabiulawal lalu, Allahyarham diserang perusuh di kuil berkenaan tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam yang sedang melakukan tugas membantu orang ramai.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi rusuhan dan dipukul tanpa belas kasihan, sehingga cedera parah.

Polis kemudian menangkap empat lelaki disyaki terbabit menyerang Allahyarham, tetapi Mahkamah Majestret membebaskan mereka dengan ikat jamin polis dan bon mahkamah.

Kes itu mulanya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, tetapi kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

Memberitahu Ismaweb.net selepas dibebaskan hari ini, Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau) berkata, pihaknya telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Peguam Negara, Tommy Thomas disyaki melindungi pembunuh itu.

“Kenapa kami berkata demikian? Kerana, sebelum ini, empat individu ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Mereka ini telah didakwa atas cubaan membunuh, kerana ketika itu saudara kita, Allahyarham Adib masih hidup.

“Tetapi apabila Adib meninggal dunia, sepatutnya Jabatan Peguam Negara meluluskan permohonan polis untuk meminda pendakwaan daripada Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh, kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang berlaku ialah selepas Peguam Negara berbincang dengan Muhyiddin, mereka dilihat melengah-lengahkan proses pendakwaan semula empat individu terbabit.

“Lebih teruk lagi, diwujudkan pula siasatan kehakiman (inkues kematian), dan sehingga saya ditahan semalam, siasatan itu masih belum dimulakan. Apa semua ini? Bukankah ini seolah-olah melengah-lengahkan? Tidakkah tindakan ini secara tak langsung akan melindungi pembunuh?,” katanya.

Katanya, Pemantau tidak akan sama sekali berganjak memperjuangkan keadilan terhadap kematian Muhammad Adib, dan bersedia berdepan dengan mana-mana pihak yang disyaki melindungi pembunuh.

Dakwa miliki dokumen bedah siasat

“Kami juga ada sumber dalaman, dalam bentuk memo, di mana ia dikeluarkan bagi menukar hasil dapatan bedah siasat Muhammad Adib, daripada mati akibat pukulan, dan ada kemungkinan akan ditukar menjadi mati akibat kemalangan dilanggar kenderaaan,” katanya.

Pada masa sama, Lokman turut mengulas mengenai pembebasan beliau daripada tahanan polis pada jam 10.30 pagi tadi, setelah hampir 12 jam ditahan mengikut Akta Hasutan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Alhamdulillah saya dibebaskan daripada tahanan. Nasib kita baik dan perkara ini pun boleh kita boleh hidu.

“Sekarang ini musim Pilihan Raya Kecil (PRK), dan saya dibebaskan awal. Ada kemungkinan mereka tak dakwa saya dalam masa terdekat, dalam musim PRK ini,” katanya.

Semalam, beliau ditahan selepas memberikan keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, berhubung satu video ‘Live’ – Kerajaan Pakatan Harap (PH) Cuba Melindungi Pembunuh Muhammad Adib’.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 10.00 malam tadi.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close