Berita UtamaUtama

Pancaran cahaya lampu ‘lambang salib’ kena ubah: Mufti Pulau Pinang

Kerajaan diminta arah pemaju ubah kedudukan lampu Grace Residence

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 5 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta mengarahkan pihak pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan Grace Residence, Jelutong, yang dipercayai mempamerkan lambang salib, dengan segera.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara cermat dan bijaksana mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Katanya, pihak berkuasa perlu menyelidik terlebih dahulu adakah kejadian ini sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan sahaja.

“Apapun tindakan yang akan diambil hendaklah mempertimbangkan keseimbangan di antara kebebasan beragama yang menjadi hak setiap warganegara Malaysia dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kegelisahan umat Islam berhubung gambar yang tular di media sosial, menunjukkan lambang salib besar dipamerkan pada sebuah bangunan di tengah-tengah kawasan Jelutong.

Lambang salib berkenaan bukan berbentuk fizikal, namun dalam pancaran cahaya, dan lebih jelas kelihatan dari jauh pada waktu malam, kerana dipasang di bangunan tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Salim yakin kemelut ini boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua pihak bersedia bertolak ansur untuk kebaikan bersama.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam tindak tanduk masing-masing, supaya tidak mengeruhkan hubungan harmoni antara sesama warganegara Malaysia, yang berbilang kaum dan berbeza kepercayaan agama.

“Perlu difahami menurut agama Islam satu keburukan tidak harus dihapuskan dengan keburukan lebih besar. Sesuatu perkara yang tidak diingini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menzahir perasaan marah sahaja, sebaliknya perlu ditangani dengan waras dan cermat mengikut saluran-saluran sah di sisi undang-undang,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close