Berita UtamaIstimewaUtama

Lampu lambang salib di Pulau Pinang syiar terang-terangan Kristian

Identiti agama sesebuah negara adalah syiar yang mereka tonjolkan: Amir Isma

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 5 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Pancaran lampu berbentuk lambang salib gergasi yang terpampang di bangunan Grace Residence, Jelutong di Pulau Pinang menunjukkan wujudnya syiar agama Kristian di negeri itu secara terang-terangan.

Sehubungan itu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berharap isu berkenaan tidak dipandang remeh oleh mana-mana pihak.

Katanya, salah satu tanda identiti agama mana-mana negara atau negeri adalah syiar yang menonjol di negara berkenaan.

“Jelas, gambar salib yang terpampang pada bangunan di Pulau Pinang adalah syiar agama Kristian. Jadi, mengangkat lambang salib pada bangunan itu membawa maksud Pulau Pinang adalah negeri Kristian.

“Justeru, isu salib ini tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kegelisahan umat Islam berhubung gambar yang tular di media sosial, menunjukkan lambang salib besar dipamerkan pada sebuah bangunan di tengah-tengah kawasan Jelutong.

Lambang salib berkenaan bukan berbentuk fizikal, namun dalam pancaran cahaya, dan lebih jelas kelihatan dari jauh pada waktu malam, kerana dipasang di bangunan tinggi.

Pada masa sama, Ustaz Abdullah menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab kerana membenarkan lambang itu dinaikkan.

“Kita menuntut penjelasan daripada pihak berkaitan, apakah maksud dan erti perbuatan mereka menaikkan syiar Kristian di negeri itu.

“Adakah itu perisytiharan secara tidak langsung yang memberi erti Pulau Pinang mempunyai identiti agama berbeza dengan identiti agama Persekutuan?,” soalnya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close