Utama

Gambar Syukor berkubang dengan kerbau raih anugerah antarabangsa

National Geographic, Siena International Photography Award 2018 iktiraf rakaman gambar sebagai yang terbaik

BANGI, 5 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Seorang remaja, Muhammad Syukur Khamis, 14, mencetus fenomena apabila gambarnya menjinakkan dan bermesra dengan haiwan peliharaan menjadi tular baru-baru ini.

Hakikatnya, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu sudah lama menjadi ‘sasaran’ lensa kamera jurugambar dari dalam dan luar negara, kerana kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63, di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

Antara jurugambar bertuah itu ialah Mohd Nazri Sulaiman, yang mana pada tahun lepas berjaya memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018’, melalui rakaman gambar Muhammad Syukur bersama haiwan peliharaannya.

Selain itu, Muhammad Syukur turut membawa tuah apabila rakaman gambarnya melayakkan Nazri memenangi anugerah ‘Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Italy’.

Seorang jurugambar lain, Mohd Zaini Mohd Ariff turut mendapat tempias ‘keunikan’ Muhammad Syukur menjinakkan haiwan, apabila gambarnya melayakkan beliau dinobatkan sebagai pemenang untuk “National Geographic – Uncover Malaysia’.

Memetik laporan Bernama, anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, kehidupan seharian beliau dipenuhi aktiviti bersama haiwan peliharaan bapanya iaitu kerbau, kambing, lembu, angsa dan ayam kampung berbanding bermain gajet seperti rakan sebaya yang lain.

“Sejak tadika saya dah ikut ayah bermain kerbau. Saya boleh baring dan duduk dengan kerbau ini berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan kerana saya rasa tenang.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah lagi mengalami sebarang kecederaan ketika bermain dengan Awang, Semek, Baba, Adik dan Tokol (nama gelaran kerbau) kerana kami saling menyayangi, bergurau dan bermanja,” katanya.

Keunikan Muhammad Syukur turut menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, apabila beliau berkongsi kejayaan itu dalam catatan di Facebook.

“Rasa kagum dan terpana ketika melihat gambar-gambar manusia dengan haiwan lebih-lebih lagi remaja dengan puluhan kerbau yang begitu akrab dan intim.

“Sesungguhnya gambar yang bersifat kampungan dan ‘alami mengingatkan usul asal orang kampung dan desa bersamanya sawah bendang, lembu kerbau dan pohon kayu yang menghijau melatari fitrah kemanusiaan bagi masyarakat kampung Melayu. Rasa kedamaian, ketenangan dan kegembiraan tidak dapat ditafsirkan oleh benda dan harta tetapi oleh perasaan kasih sayang dan rahmat,” katanya.

Halaman Facebook rasmi Muhammad Syukur, iaitu ‘Syukor Khamis – Kampong Boy’ juga turut memotretkan puluhan gambar berwarna-warni yang penuh kedamaian, tatkala remaja itu ‘berkubang’ bersama puluhan kerbau milik bapanya, malah lebih menarik perhatian ialah gambarnya seakan ‘bergusti’ dengan kambing.

Sementara itu, bapanya berkata, sejak 2015 lebih 100 orang jurugambar dari dalam dan luar negara datang ke kediamannya untuk merakam gambar Syukur dan ‘kawan-kawannya’, dan menyifatkan gambar yang tular baru-baru ini sebagai rezeki buat anak bongsu mereka itu untuk menjadi popular sekelip mata.

“Sebenarnya, semua anak kami memang boleh berinteraksi dengan kerbau, malah anak sulung yang kini berusia 30 tahun lebih hebat kemahirannya dalam menjinakkan kerbau, cuma masa itu tidak pernah tular seperti Syukur.

“Syukur ini anugerah Allah kerana bukan kerbau sahaja yang berkawan dengan dia malah kambing, lembu, angsa dan ayam kampung pun adalah teman sepermainan Syukur sejak dia berumur enam tahun sebab dia rajin ikut saya menggembala kerbau,” katanya yang mempunyai lebih 100 ekor kerbau, empat ekor lembu dewasa dan 20 ekor kambing.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close