Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

VIDEO | Lima askar Yaman maut serangan dron Houthi

Pegawai kanan berpangkat jeneral turut cedera serangan ketika perbarisan tentera di pangkalan udara terbesar di Yaman

SANAA, 4 Jamadilawal 1440H, Khamis – Sekurang-kurangnya lima askar Yaman terbunuh, dan 20 cedera, termasuk beberapa pegawai atasan, selepas puak militan Houthi menyerang satu perbarisan tentera di wilayah Lahij, menggunakan dron hari ini.

Perbarisan tentera itu diadakan di pangkalan udara terbesar di Yaman – al-Anad – apabila tiba-tiba letupan kuat berlaku di udara, kata saksi sambil mengesahkan Ketua Perkhidmatan Perisikan Yaman, Jeneral Mohammad Saleh Tamah; komander Mohammad Jawas; dan Gabenor Lahij, Ahmed al-Turki, turut cedera.

Ketua Staff Tentera Yaman, Jeneral Abdullah Al-Nakhee juga dilaporkan cedera.

Dron membawa antara 70 hingga 100 kilogram bahan letupan, diletupkan ketika terbang rendah di atas pentas utama perbarisan itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada pegawai tentera Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) – dua negara yang mengetuai kempen serangan terhadap Houthi di Yaman – turut hadir dalam perbarisan itu.

Pangkalan udara Al-Anad terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar kedua terbesar di Yaman, Aden, adalah ibu pejabat bagi pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) yang memantau serangan dron terhadap al-Qaeda sehingga Mac 2014, sebelum diambil alih militan Houthi.

Bagaimanapun, tentera Yaman kemudian menawan semula pangkalan itu pada Ogos 2015 dengan bantuan pakatan tentera diketuai Arab Saudi.

Klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan letupan itu berlaku hanya beberapa meter di atas pentas utama yang menempatkan pegawai kanan tentera. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close