ArtikelBerita Utama

Siri akhir: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia

Kami masih di luar mendengar, melihat dan kini berbicara....

Sepi yang membingitkan

Pasti banyak pihak tertanya-tanya bagaimana perkara sekejam ini boleh berlarutan tanpa sebarang liputan dari mana-mana pihak?

Selain daripada propaganda jijik China, ramai pihak yang menyuarakan tentang aktiviti disebalik kem tahanan tersebut telah di kenakan tindakan oleh China, termasuklah Ursula Gauthier (wartawan Perancis) yang diusir dari China setelah laporannya diterbitkan dan  Nurwul Suwat (seorang pekerja sosial klinikal, juga merupakan aktivis Australia) yang diugut keluarganya tidak akan dilepaskan.

Sekurang-kurangnya 12 ahli keluarga Nurwul telah hilang. Nasib yang sama menimpa Gulchehra Hoja, Shohret Hoshur, Mamatjan Juma dan Kurban Niyaz (wartawan-wartawan Uighur di Radio Free Asia) yang menerima berita kehilangan ahli-ahli keluarga mereka.

Pakar polisi China- Michael Clarke, dari Universiti Kebangsaan Australia- berpendapat bahawa kuasa ekonomi China dan  ketakutan terhadap tindak balas China adalah faktor besar yang membisukan negara-negara Islam.Buktinya, bantahan berterusan dilakukan oleh negara-negara seperti Saudi, Jordan, Iran, dan Malaysia berhubung isu Rohingya di Myanmar namun sikap sebaliknya ditunjukkan berhubung isu Uighur.

Antara tindakan ‘keras’ polis China terhadap muslim Uighur

Di Malaysia dan Indonesia, jumlah pelaburan dan kontrak dari China sejak tahun 2005 sehingga kini adalah 121.6 juta dollar manakala di Timur Tengah dan Afrika Utara berjumlah 144.8 juta dollar.

Beijing juga membuat tawaran kepada Turki untuk membantu menangani krisis kewangannya dengan syarat agar Ankara tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan Uighur atau polisi etnik Xinjiang- Presiden Turki, Erdogan yang sebelum ini lantang membantah kekejaman China kini terus membisu.

Layanan China terhadap Uighur dan penduduk beragama Islam langsung tidak menghalang pelancong Muslim bercuti ke China. Menurut laporan oleh Salam Standard, tahun ini sahaja, 11.3 billion USD telah di ‘sumbangkan’ kepada China melalui kedatangan pelancong Muslim.

Dalam negara China pula, stereotaip negatif dihamburkan terhadap etnik Uighur yang menyebabkan warga lain memberi layanan buruk terhadap mereka.

Di Xinjiang internet dan sambungan telefon sering dimatikan agar kemudahan komunikasi dengan dunia luar terbatas. Sekiranya ada yang di dapati menghubungi sesiapa dari luar negara, tindakan akan dikenakan ke atas mereka. Sekatan perjalanan juga meninggalkan Uighur bersendirian tanpa sebarang cara lain untuk meloloskan diri dari cengkaman Parti Komunis ini.

Celikkan si buta, bicarakan si bisu

Bandar Kashgar yang dahulunya sibuk, kini begitu sunyi dengan pintu-pintu yang berkunci. Fasiliti seperti sekolah ditukarkan menjadi kem. Penghuni rumah-rumah kosong tersebut kini memenuhi kamar-kamar tahanan. Setiap gerak geri warganya diperhatikan dengan begitu teliti.

“Xinjiang bukan sahaja indah tetapi kini juga selamat dan stabil,” begitulah pandangan cetek Shohrat Zakir, sedangkan rata-rata bekas tahanan menyatakan rasa geram dan benci mereka namun tidak mampu berbuat apa-apa meskipun hak kemanusiaan mereka dicabul satu per satu.

“Sekiranya anak saya boleh mendengar, tiada apa yang boleh saya katakan melainkan permohonan maaf,” esak Bilkiz yang kehilangan anak kecilnya sejak 2 tahun lalu. Inikah ‘keindahan’ yang di idami China? Dua ikatan penting buat masyarakat Uighur telah ditarik – keagamaan dan kekeluargaan.

Dunia melihat, namun ada pihak yang masih berpeluk tubuh. Sudah terlalu ramai dipaksa untuk lenyap dalam kebisuan ini. Siapakah yang bakal menggantikan suara-suara ini, berdiri dan menggali keluar hak Uighur yang sedang ditimbus?

Ini bukanlah tentang agama, bangsa atau etnik tetapi ini adalah tentang kemanusiaan,”

– Aktivis solidarity cyber action (SCA).

Berikut merupakan antara inisiatif yang mampu dilakukan oleh setiap dari kita:

  • Cakna isu Uighur
  • Penyebaran berita di media sosial, keluarga serta sahabat.
  • Menandatangani petisyen melepaskan 1 juta tahanan Uighur
  • Menyalurkan sumbangan kepada World Uyghur Congress dan mana-mana NGO yang memperjuangkan hak Uighur
  • Menggesa agar pemimpin negara mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu ini
  • Boikot semampunya terhadap barangan China

 “Tiada sesiapa lagi di luar sana,”

-Ablet Tursun Tohti, bekas tahanan

Kami masih di luar- mendengar, melihat dan kini, berbicara.

Nur ‘Athira Faisal Sabri

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Siri I: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia

 

Siri II: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close