Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Hamas ambil alih kawalan pusat pemeriksaan sempadan Rafah

Mesir buka laluan sehala bolehkan rakyat Palestin terkandas pulang

GAZA, 2 Jamadilawal 1440H, Selasa – Dalam pada Mesir bersedia membuka pintu Rafah bagi membolehkan ribuan penduduk yang terkandas di sempadan pulang, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran keadaan bakal menjadi buruk apabila Pihak Berkuasa Palestin (PA) menarik balik kakitangannya di pintu sempadan itu.

Pihak berkuasa Kaherah dilaporkan bersetuju membuka pintu keluar dari negara itu sahaja hari ini, bagi membolehkan ribuan warga Palestin yang terkandas pulang ke wilayah yang terkepung itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Turki, Anadolu, Kementerian Dalam Negeri Palestin di Gaza berkata, hanya laluan masuk ke Semenanjung Gaza bagi tujuan komersial dan orang ramai, sahaja dibuka.

Semalam, kementerian itu yang dikendalikan Hamas mengesahkan mereka mengambil alih kawalan di pusat pemeriksaan sempadan Rafah-Semenanjung Sinai, selepas PA menarik balik semua kakitangannya.

PA berbuat demikian sebagai bantahan terhadap tindakan tegas Hamas ke atas ahli Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) yang menguasai PA.

Hamas sebelum ini membantah keputusan mahkamah di bawah kawalan Presiden Mahmoud Abbas membubarkan Parlimen Palestin, menyebabkan timbul perbalahan antara kedua-dua pihak.

Kemuncaknya kelmarin, apabila stesen televisyen yang dikawal PA di Gaza diserang individu tidak dikenali.

Namun, pihak berkuasa Hamas dilaporkan menangkap penyerang terbabit yang dikatakan bekas pekerja stesen televisyen PA yang tidak dibayar gaji.

PA menguasai Tebing Barat dengan menjadikan Ramallah sebagai pusat pentadbiran, sementara Hamas menguasai Semenanjung Gaza.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qasem berkata, langkah PA menarik balik kakitangan di pintu sempadan Rafah akan menjejaskan usaha Mesir mewujudkan perdamaian antara pergerakan itu dan PA.

“Hamas yakin selepas ini Mahmoud Abbas akan meneruskan dasarnya yang bertujuan mengasingkan Semenanjung Gaza daripada Palestin.

“Di samping itu, dia juga akan mengetepikan perjanjian damai yang ditandatangani di Kaherah dan menyusahkan rakyat Palestin,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close