Berita Utama

ISMA konsisten lantang pertahan isu Palestin, al-Aqsa

Selaras agenda bangunkan ummah fadhilah, fokus kesatuan umat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Serangan rejim pengganas Israel terhadap jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa bukan hanya bersifat dendam kepada agama Islam, tetapi lebih teruk langsung tidak berperikemanusiaan.

Mengutuk tindakan keji rejim Zionis itu, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Shahier Sa’min menyifatkan serangan terhadap jemaah yang beribadah di Masjid al-Aqsa sebagai perbuatan melampau.

Beliau menegaskan, ISMA – sebagai gerakan Islam – sentiasa bertanggungjawab menyuarakan isu berkait pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa daripada ‘tangan’ rejim Zionis.

“Tanah Palestin ini ialah tanah wakaf yang diberikan hak miliknya kepada semua umat Islam dan sepatutnya apa sahaja yang berlaku di Palestin-al-Aqsa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam merentas negara, bangsa, budaya dan juga bahasa.

“Jadi apa juga berlaku di Masjid al-Aqsa ketika ini, ia adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Shahier berkata, tanggungjawab itu juga selaras dengan agenda ISMA dalam membangunkan ‘ummah fadhilah’, yang bukan hanya membina ummah mempunyai nilai tinggi, bahkan juga berfokus kepada kesatuan umat.

“Kesatuan ini bukan sahaja di peringkat setempat, bahkan boleh berlaku di peringkat serantau, nusantara dan juga peringkat dunia.

“Inilah sebenarnya manifestasi daripada hadis, di mana Rasulullah SAW menyebut, satu orang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti mana bangunan, mereka saling kuat menguatkan antara satu sama lain.

“Jadi apa boleh kita lakukan, faham pada definisi ummah ini kita dan masyarakat Palestin adalah satu jiwa, satu hati serta tanah Palestin juga tanah kita seluruh umat Islam,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menggesa seluruh umat Islam untuk terus bersuara terhadap segala bentuk keganasan yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Untuk bercakap isu ini adalah satu pilihan. Kita boleh senyap dan boleh bersuara. Semua itu ada kesan dan tanggungjawab di akhirat nanti.

“Namun, kita (umat Islam) mesti bersuara dan memberikan pendirian, bahkan sebagai negara Malaysia yang sebelum ini begitu rapat dengan isu Palestin perlu memberikan satu tekanan baharu yang lebih segar kepada Israel supaya mereka tidak ganggu tanah suci umat Islam,” katanya.

Terdahulu, polis Israel bertindak menyerbu Masjid Al-Aqsa dengan mendakwa sejumlah perusuh bertopeng telah memasuki masjid dan menguncinya.

Menurut Palang Merah Palestin, seramai 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran itu, akibat tembakan peluru getah dan dipukul.

Beberapa jam selepas kejadian, rejim Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid al-Aqsa, ketika serbuan pada awal pagi dan menahan lebih 350 orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button