Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Arab Saudi enggan sahkan keberadaan Saud al-Qahtani

Kedudukan 'orang kanan' Putera Mahkota yang dituduh terbabit dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dijadikan ukuran sejauh mana Riyadh bersedia memberi keadilan kepada mangsa

DOHA, 2 Jamadilawal 1440H, Selasa – Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan enggan mengesahkan di mana keberadaan bekas pembantu khas Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Saud al-Qahtani, yang dilaporkan terbabit dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Qahtani dipecat pada Oktober tahun lalu, beberapa hari selepas pembunuhan kejam Khashoggi mendapat perhatian dunia.

Pada November lalu, Riyadh mengesahkan Qahtani disiasat dan dilarang meninggalkan Arab Saudi. Sejak itu, tiada lagi kenyataan rasmi dikeluarkan berkaitan kes berkenaan, lapor Washington Post.

Pendakwa Arab Saudi menuduh Qahtani memainkan peranan penting dalam pembunuhan Khashoggi di dalam pejabat konsulat negara itu di Istanbul, Turki, 2 Oktober lalu. Dia adalah antara 17 warga Arab Saudi yang disahkan terbabit dalam pembunuhan itu.

Bagaimanapun, Riyadh tetap mendakwa Putera Mohammed tidak mengetahui mengenai rancangan membunuh Khashoggi.

AS dan negara Barat memerhati perkembangan terhadap Qahtani yang dianggap menjadi ukuran sama ada serius atau tidak pihak berkuasa Arab Saudi memberi keadilan kepada pembunuhan Khashoggi, lapor akhbar itu.

Beberapa persoalan mula bangkit sejak kebelakangan ini berhubung pembabitan Qahtani, termasuk sama ada dia diperangkap, dalam pembunuhan kolumnis Washington Post itu.

Bekas orang kanan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Saud al-Qahtani.

Pengarah Eksekutif Pusat Arab di Washington, Khalil Jahshan memberitahu Al Jazeera bahawa ‘kehilangan’ Qahtani adalah perkara biasa dalam siasatan Arab Saudi, dan dilihat sebagai strategi untuk melindungi Putera Mohammed daripada dituduh terbabit dalam pembunuhan itu.

“Mereka melindungi beberapa pemain utama yang dituduh terbabit dalam pembunuhan, sama ada oleh Turki atau masyarakat antarabangsa.

“Fokus utama kempen Arab Saudi sekarang ialah untuk kekal membersihkan Putera Mahkota daripada sebarang tuduhan terbabit dalam pembunuhan itu,” katanya.

Aktivis Hak Asasi Manusia Arab Saudi yang tinggal di Ireland, Abdulaziz Almoayyad mempersoalkan apa yang boleh diharapkan daripada ideologi Riyadh mengenai ‘kehilangan’ Qahtani, sedang rakyat yang meminta kerajaan melakukan beberapa pembaharuan dihukum dengan hukuman mati.

“Mereka tidak perlu menjadi reformis. Ini cara kerajaan Arab Saudi menangani perbezaan pendapat, untuk menangani orang ramai yang meminta mereka diwakili,” katanya.

Putera Mohammed tidak mahu menghukum pembunuh itu. Dia tidak bersedia untuk menghukum sendiri dan yang akan menyebabkan dia kehilangan kuasa, katanya.

“Di Arab Saudi, mereka adalah golongan minoriti yang mengawal orang ramai. Rakyat Arab Saudi berjuang untuk hak mereka, dan kerana itu mereka dipenjara.

“Tetapi yang kecil ini tidak boleh diapa-apakan. Mereka terlalu kaya, terlalu berkuasa dan mereka percaya mereka lebih tinggi daripada undang-undang Arab Saudi dan antarabangsa,” katanya.

Khashoggi, yang melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 2017, dibunuh sepasukan anggota perisik dari Riyadh sebaik memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul, 2 Oktober lalu. Sebahagian daripada anggota kumpulan itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mohammed.

Riyadh sebelum ini memberi pelbagai versi kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa penulis itu sudah keluar dari pejabat konsulat berkenaan selepas urusannya selesai.

Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi dibunuh dan 18 suspek ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close