Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahKolumnisUtama

Sabarlah Abang Mat Sabu..

Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya, muhasabahlah

SAYA turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu @ Abang Mat, yang ditahan polis kerana positif ganja.

Dalam laporan media dua hari lepas, anak Abang Mat ditahan dalam pemeriksaan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 pagi. Anak Abang Mat disyaki positif dadah jenis ganja dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Insiden ini turut mendapat simpati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang melahirkan rasa simpati terhadap Abang Mat.

Guan Eng berkata: “Saya amat simpati kepada beliau kerana walaupun sukar untuk menjadi menteri, tetapi kadang kala ia lebih sukar untuk menjadi seorang bapa”.

Sebelum ini, pada November 2017, anak lelaki Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20 gram.

Mengikut pertuduhan, anak beliau didakwa memiliki dadah itu di sebuah rumah di Lot 409, Jalan Pasir Mas Salor, Kampung Jelutong di sini pada jam 3.30 petang, 18 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk makluman, kedua-dua mereka adalah bekas pimpinan PAS.

Kejadian ini mengingatkan saya kata-kata hikmah seorang ahli falsafah Cina, Konfucius yang berkata:

If you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere.

Bermaksud, jika kita mahu menjadi seorang pemimpin, pertamanya, pastikan rumah tangga dapat dijaga dengan baik.

Bagi memastikan rumah tangga dapat dijaga dengan baik, pertamanya, diri sendiri hendaklah mempunyai akhlak yang baik.

Bagi memastikan diri mempunyai akhlak yang baik, pastikan hati dapat dijaga dengan baik.

Bagi memastikan hati menjadi baik, ia bermula dengan sifat ikhlas.

Memanglah, bukan salah ibu mengandung, jika sesuatu perkara buruk dilakukan oleh anak kita. Ibu bapa tidak wajar dipersalahkan, jika anak tidak menjadi.

Tetapi, apapun, kita sebagai ibu bapa tetap akan dipertanggungjawabkan. Persepsi masyarakat tetap melihat kita sebagai ibu dan bapanya seperti kata-kata hikmah Konfucius.

Saya amat berharap Abang Mat cekal dalam menghadapi semua ujian ini. Buatlah muhasabah terhadap diri. Kenapa Allah ﷻ turun ujian keluarga sebegini perit? Mesti ada hikmahnya.

Muhasabah yang boleh saya kongsikan adalah, pertama, ikhlaskan diri kita dalam semua perkara. Paling penting, menjaga amanah dalam kementerian yang dipegang. Jagalah kementerian yang menjadi nadi pertahanan dan keselamatan negara ini dengan baik.

Percayalah, jika kita tolong Allah, pasti Allah akan menolong kita. Allah ﷻ berfirman yang bermaksud:

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Surah Muhammad ayat 7)

Kedua, elakkanlah daripada melakukan kritikan dan kecaman terhadap rakan-rakan sesama saudara dalam PAS, parti yang dianggotai oleh Abang Mat sebelum ini. Bersangka baiklah dengan PAS dan UMNO. Janganlah ‘menembak’ kedua-dua parti ini lagi.

Sebaliknya, mohonlah supaya pemimpin dan ahli PAS dan UMNO mendoakan kesejahteraan keluarga Abang Mat.

Inilah masanya untuk Abang Mat mengurus perbezaan yang wujud sesama umat Islam melalui ujian yang diturunkan ini. Jika tidak dapat pun mencari titik persamaan dengan parti yang tidak sebulu dengan kita, sekurang-kurangnya kita dapat menguruskan perbezaan ini dengan rasa ikhlas.

Yakinlah, sifat ikhlas dalam segala perkara yang kita lakukan kerana Allah ﷻ akan datangkan kebaikan yang kita tidak ketahui.

Ketiga, ingat Abang Mat, kadang-kala mereka yang kita anggap musuh itu, itulah kawan yang sebenar. Sebaliknya, mereka yang kita anggap kawan, belum tentu menjadi kawan yang sebenarnya. Justeru, berhati-hatilah dalam berpolitik. Jaga hati kawan-kawan.

Akhirnya, Abang Mat berdoalah banyak-banyak kepada Allah ﷻ mohon taufik dan hidayatNya untuk memelihara keluarga Abang Mat. Percayalah, setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmah di sebalik yang kita tidak tahu.

Muhasabah ini bukan sahaja untuk Abang Mat, tetapi untuk kita semua yang menjadi pemimpin.

Seperti yang dikatakan oleh Konfucius, dan saya yakin kata-kata ini langsung tidak bertentangan dengan nilai agama lain, untuk menjadi pemimpin hebat, pastikan keluarga dapat dijaga dengan baik.

Begitu juga diri kita hendaklah baik. Diri yang baik bermula dengan hati yang baik. Hati yang baik bermula dengan sifat ikhlas. Ikhlas adalah ibu kepada segala kebijaksanaan. Ikhlas juga adalah asas sama ada ke syurgakah kita atau ke nerakakah kita?

Tanyalah kepada diri bermula sekarang, ikhlaskah kita dalam berjuang? Tepuk dada, tanya iman.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close