Berita UtamaUtama

Pemuda Isma tuntut pendirian tegas PM isu UEC

Prinsip Malaysian Malaysia semakin tunjuk niat buruk PH lebur identiti negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Jamadilawal 1440H, Isnin – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mencabar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menutup segera polemik mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan mengeluarkan pendirian tegas menolak pengiktirafannya.

Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Hussin berkata, tidak masuk akal jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ mahu mengiktiraf sijil peperiksaan berkenaan, kerana jelas bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Beliau berkata, sebagai kerajaan, Pakatan Harapan sepatutnya bersungguh mempertahankan polisi dan dasar negara yang berteraskan Perlembagaan, bukan bersikap menyokong perkara bertentangan dengan prinsip itu.

“Malah prinsip ‘Malaysian Malaysia’ semakin lama semakin menunjukkan niat busuk mereka untuk meleburkan identiti negara.

“Jika benar ikhlas ingin memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang sebenar, mereka akan bersama-sama berjuang mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, dan bersungguh-sungguh mempertahankan prinsip Perlembagaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, sejak zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, UEC tidak pernah diiktiraf bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Melayu, bahkan tokoh berbangsa Cina seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin.

“Malah, tokoh akademik, Prof Teo Kok Seong juga berpendirian tegas untuk tidak mengiktiraf UEC yang tidak mengikut sistem dan dasar pendidikan negara.

“Kalau dibuat analogi larangan merokok, pengiktirafan UEC sama seperti tindakan kerajaan memberikan ganjaran kepada perokok yang melanggar undang-undang larangan merokok di tempat terbuka,” katanya.

Muhammad Farid mengulangi kebimbangannnya terhadap kesan pengiktirafan UEC kepada negara, terutama membabitkan polisi serta ekonomi Malaysia.

Jelas beliau, tidak mustahil pengiktirafan sijil yang diwujudkan oleh Dong Zong itu akan menyebabkan ramai kakitangan awam tidak fasih berbahasa Melayu.

“Polisi kerajaan yang dibuat dan dilaksanakan juga mungkin tidak akan mengambil kira prinsip Perlembagaan yang bertunjangkan Islam, Melayu dan raja, sebaliknya berkiblatkan sistem negara lain.

“Kita bimbang ia juga akan memperluaskan lagi diskriminasi terhadap bangsa Melayu dan kaum lain, selain Cina untuk memasuki kerja. Jika UEC diiktiraf, maka ini menjadi lesen besar kepada syarikat untuk ambil orang Cina sahaja.

“Dengan ekonomi negara yang dikuasai oleh orang Cina, perkara ini hanya akan mewujudkan jurang yang besar antara bangsa Cina dan Melayu serta kaum lain,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Ia diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat Cina yang berhaluan kiri seperti Dong Zhong.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close