Berita UtamaDuniaUtama

Pejabat TV Palestin di Gaza diserang, digeledah

Perkakasan penyiaran bernilai hampir AS$150,000 musnah

GAZA, 28 Rabiulakhir 1440H, Sabtu – Pejabat stesen televisyen, TV Palestin milik Presiden Mahmoud Abbas di Gaza digeledah dan diserang sekumpulan lelaki, semalam.

Pengarah pejabat penyiaran itu, Rafat Al-Qidra berkata, lima lelaki menggeledah masuk premis berkenaan dan memusnahkan perkakasan seperti kamera, alat penyunting dan penyiar yang bernilai hampir AS$150,000.

“Sesiapa yang memerintah di Gaza mesti memberi perlindungan kepada semua orang di sini,” kata Qidra kepada agensi berita Reuters.

Serangan ke atas pejabat itu sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara pihak berkuasa Palestin dengan gerakan Hamas yang menguasai Gaza.

Stesen itu menyiarkan kandungan yang menyokong pentadbiran Abbas, yang kuasanya berpangkalan di Tebing Barat diduduki. Pegawai stesen itu menunding jari ke atas Hamas berhubung serangan berkenaan.

“Hamas terbabit dalam konspirasi ini,” kata pengerusi Perbadanan Penyiaran Palestin (PBC), Ahmed Assaf.

PBC dalam kenyataannya menyifatkan serangan itu adalah petanda jelas mentaliti Hamas dan kumpulan jenayah yang hanya percaya kepada suara mereka, yang berusaha menyekat kebebasan.

Bagaimanapun, Assaf mahu pun PBC tidak memberikan sebarang bukti terhadap dakwaan itu, manakala sumber rasmi Hamas mengecam insiden itu.

“Apa yang berlaku memang tidak boleh diterima, dan kami mengutuk insiden berkenaan,” kata Menteri Luar Hamas, Eyad Al-Bozom dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak pengurusan stesen penyiaran itu berkerjasama dengan pasukan penyiasat.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close