ArtikelBerita Utama

Siri I: Perginya satu etnik, sepinya satu dunia

Kami masih di luar mendengar, melihat dan kini berbicara....

Ada apa dengan Uighur?

Secara rasminya, China terdiri daripada 56 etnik yang merangkumi  55 etnik minoriti dan satu etnik dominan iaitu Han. Uighur merupakan etnik kelima terbesar di China yang sebahagian besarnya – lebih 11 juta orang- mendiami  wilayah Xinjiang.

Kedudukan geografinya yang berada di Timur Turkistan- terutamanya bandar Kashgar di selatan yang lebih hampir kepada Baghdad berbanding Beijing- memperlihatkan perbezaan yang ketara antara cara hidup dan adat resam etnik ini berbanding Han. Masyarakat Uighur terutamanya di Selatan Xinjiang bertutur dalam bahasa rasmi wilayah itu iaitu Bahasa Uighur (satu dari 35 bahasa yang tergolong dalam kategori Bahasa Turki), dan majoritinya mengamalkan agama Islam.

Etnik Uighur berada di Xinjiang sekitar abad ke-10 dan membentuk penduduk paling ramai di situ menjelang abad ke-20. Sehingga kini, dua percubaan besar telah dilakukan bagi mengisytihar Xinjiang sebagai republik bebas demi mencapai ‘kemerdekaan’.

Cubaan pada tahun 1933 hanya bertahan selama setahun, manakala cubaan kedua pada 1944 menyebabkan wilayah itu diserap masuk ke Republik Rakyat China (People’s Republic of China ) pada tahun 1950. Semenjak dari itu, penghijrahan terancang dilakukan dari tahun 1950-an sehingga 1970-an yang menyaksikan berjuta-juta rakyat Han Cina berbondong-bondong masuk ke Xinjiang. Mengapakah hal ini berlaku?

Antara sumbangan terbesar wilayah Xinjiang yang hampir 5 kali saiz Jerman ini adalah kekayaan mineral khususnya minyak dan gas, yang telah membawa masuk pelaburan besar ke China beserta dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Tidak hairanlah, keuntungan ini jugalah yang menjadi faktor penarik gelombang peneroka Cina Han!

Menyelusuri sejarah yang penuh dengan pemberontakan dan penentangan terhadap pihak berkuasa China, kebencian dalam kalangan Uighur semakin bertambah akibat daripada ketidaktelusan pengagihan hasil oleh pihak berkuasa China.

Respon dari pihak berkuasa China pula menekankan tentang kenaikan taraf hidup penduduk Xinjiang. Namun hakikatnya, beratus-ratus nyawa telah terkorban dek kerana rusuhan, keganasan antara komunit dan tindak balas polis. Hal ini menyebabkan kerajaan China menganggap etnik Uighur sebagai satu ‘tumor’ (ketumbuhan) atau ‘penyakit mental’ yang merosakkan dan wajar ‘di ubati’!

Penindasan yang terbongkar

Sesebuah negara pasti akan berusaha untuk mengekalkan keamanan domestik dalam menangani tuntutan hak-hak yang sewajarnya, bukan? Namun, strategi China dalam mencapai objektif tersebut adalah sebaliknya- iaitu dengan merobek dan melucut lebih daripada apa yang dituntut.

Selama 4 tahun lalu, Xinjiang telah menjadi sasaran beberapa langkah keselamatan yang paling ketat dan komprehensif yang pernah digunakan oleh sesebuah negara terhadap rakyatnya sendiri. China menggunakan teknologi berskala besar seperti kamera pengiktirafan muka, peranti pemantauan yang membaca kandungan telefon mudah alih dan pengumpulan data biometrik secara besar-besaran bagi menyelia setiap gerak geri rakyat Xinjiang.

Tidak cukup dengan sekatan fizikal, pemerintah China turut mengumpul DNA dari seluruh penduduk Xinjiang berusia 12 hingga 65 tahun. Penindasan terhadap Uighur dilakukan melalui peraturan-peraturan baru yang dikenakan keatas mereka:

  • Melarang berpuasa. Pengumuman bermula 6 Jun 2016, dibulan Ramadhan.
  • Sekatan menunaikan haji serta perjalanan di dalam dan di luar Xinjiang melalui penyerahan passport kepada pihak polis untuk ‘disimpan secara selamat’
  • Melarang memberi nama bayi dengan nama-nama Islam. Antara 28 nama-nama lain yang diharamkan termasuklah Islam, Quran, Mekah, Imam, Saddam, Haji dan Madinah. Semua kanak-kanak berusia 16 tahun kebawah diwajibkan menukar nama mereka sebelum mendapat kad pengenalan.
  • Mereka yang berumur 18 tahun kebawah tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti keagamaan. Menurut undang-undang pada tahun 2016- tidak dibenarkan menganjurkan, mengajak atau memaksa ahli bawah umur dari menghadiri majlis-majlis keagamaan.
  • Pindaan undang-undang beragama. Artikel 12 memaksa setiap aktiviti keagamaan dilakukan di tapak-tapak yang tertentu sahaja. Sebarang kandungan keagamaan di media sosial adalah satu jenayah, temasuklah berkongsi sepotong ayat Al-Quran.
  • Larangan berjanggut dan berhijab. Berkuatkuasa pada April 2017.
  • Hukuman penjara atas sebab agama. Pada 10 Mei 2016, Abdusemet Qarihaji telah dihukum penjara selama 20 tahun atas kesalahan mengajar Quran kepada kanak-kanak 20 tahun yang lalu. Keadaan kesihatan beliau, tiada yang
  • Menutup dan menghancurkan masjid-masjid. Setiap masjid yang tinggal harus mendapat kelulusan kerajaan China, dipasang alat pengesan besi, dan kawalan ketat keluar masuk di pintu masjid. Masjid dipaksa memasang bendera negara China.
  • Menyita dan membakar al-Quran dan buku-buku Islam serta menyita atribut-atribut agama Islam lainnya

Dan pelbagai sekatan tidak munasabah lainnya agar bertepatan dengan cengkaman Presiden Xi Jinping, yang memaksa agar kesetiaan kepada keluarga dan iman mesti diberi kepada satu entiti sahaja iaitu Parti Komunis.

Jika perkara ini telah berlaku sejak sekian lamanya, mengapa baru kini ia digembar-gemburkan?

Pada 22 April 2018, sebuah satelit mengesan sebuah kawasan yang dahulunya merupakan tanah tandus, kini di penuhi bangunan besar dengan dinding luar sepanjang 2km beserta 16 menara pemerhati. Kawasan ini dibina di Dabancheng yang terletak di wilayah Xinjiang. Apa yang lebih mengejutkan, pertambahan bangunan telah dilakukan dengan begitu pantas hanya dalam masa 6 bulan! Apakah isi dan aktiviti disebalik kawasan luas ini yang dikawal selia begitu rapi?

“Ia kelihatan seperti tempat yang dicipta untuk memuatkan seramai mungkin manusia dalam sekecil mungkin ruang,” komen Raphael Sperry, arkitek untuk tanggungjawab sosial.

Bagi mengelakkan sebarang kontroversi, China memulakan propaganda licik dengan menunjukkan laporan indah tentang apa yang mereka namakan sebagai ‘kem pembelajaran semula’ (re-education camp). Media berjaya dilambakkan dengan berita-berita yang memaparkan bilik darjah bersih, serta pelajar-pelajar yang begitu akur. Namun, mereka gagal menjelaskan siapa yang dipilih untuk mengikuti kem ini dan berapa lama kursus tersebut berlangsung? Persoalan inilah yang telah menggesa aktivis dari seluruh dunia untuk mengkaji dengan lebih mendalam.

Menurut laporan oleh laman the Guardian, pihak berkuasa China pada awalnya menafikan kewujudan kem tahanan indoktrinasi politik tetapi setelah menyedari perbuatan kejam mereka mendapat perhatian meluas, mereka  sebaliknya memberi justifikasi baru bahawa kem tersebut merupakan pusat latihan ‘vokasional’ khas buat para ekstremis dan telah mendapat kelulusan undang-undang.

Gabenor Xinjiang, Shohrat Zakir melalui temu bual menyatakan bahawa “para pelajar diberi kursus menjahit pakaian dan kasut, memasang peralatan elektronik, dandanan rambut dan e-dagang”.

Apabila ditanya mengenai kem tersebut kepada seorang ahli sarjana dasar politik etnik China di Universiti Melbourne La Trobe, James Leibold memberi respon berikut: “Ia adalah satu bentuk ‘pendidikan’ yang tidak pernah terjadi dan tidak berasas. Saya dapati mereka bertungkus-lumus cuba mencipta suatu asas untuk dasar ini.”

Di sebalik tembok besi

Gambar hiasan

Ablikim Abliz, seorang lelaki Uighur menceritakan tentang bapa saudaranya yang dipaksa menerima orang asing dari kerajaan China untuk menetap di rumah mereka selama beberapa hari. Pada mulanya, beliau risau dengan perkara yang bakal berlaku, namun apabila mendapati bahawa keluarga saudaranya itu masih boleh tetap menjalankan ibadah seperti biasa, kegusarannya mula reda. Selang beberapa hari, beliau mendapati rumah bapa saudaranya itu telah kosong dan berkunci! Sehingga kini, tiada sebarang berita tentang ahli keluarganya itu.

Terdapat juga penduduk yang di tahan sejurus selepas pulang dari luar negara, atau berhubung dengan orang dari negara luar biarpun hanya melalui internet.

“Isteri saya di tahan kerana saya menghantar hadiah dari Turki kepadanya melalui seorang wanita yang datang ke Turki… Sudah 5 tahun saya tidak mendengar suara anak-anak. Saya tidak tahu sama ada mereka masih hidup. Ini adalah lebih kejam dari pembunuhan. Kami hidup, tetapi tidak dapat berhubung antara satu sama lain,” ujar Abdurehim Imin, yang kini berada di Turki dan masih tidak mendapat sebarang berita tentang mana-mana ahli keluarganya di China.

Ali, 25 tahun memberitahu tentang seorang wanita yang dijumpainya di dalam kem ditahan akibat menunaikan ibadah haji di Mekah manakala seorang lelaki tua pula kerana lewat membayar bil air.

Menurut anggaran pada bulan Ogos 2018 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai-pegawai dari Amerika Syarikat, terdapat 1 juta Uighur sedang berada dalam tahanan. Kini 4 bulan telah berlalu, angka itu hampir mencecah 2 juta.

Tanpa bukti yang benar-benar kukuh di hadapan mata, PBB hanya mampu memberi amaran keras kepada China: “Kami menyeru China untuk menamatkan dasar mereka yang tidak produktif ini dan seterusnya membebaskan mereka yang telah ditangkap sewenang-wenangnya”, ujar Gay McDougall, Ahli Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum PBB (UNCERD).

Nur ‘Athira Faisal Sabri

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close