Berita UtamaUtama

Individu cabar larangan merokok di kedai makan dangkal: I-Medik

Majoriti kanak-kanak terdedah kepada komplikasi rokok pada masa hadapan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), mengkritik tindakan tujuh individu yang memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai larangan merokok.

Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata, hujah mereka yang bersandarkan hak kesamarataan antara bukan perokok dan perokok adalah terlalu dangkal dan tidak logik apabila dinisbahkan kepada komplikasi yang serius bakal dialami oleh perokok pasif.

Katanya, tindakan mencabar keputusan KKM yang mewartakan sembilan premis larangan merokok adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan segala yang buruk membabitkan kebendaan, perbuatan, kepercayaan, individu dan makanan.

Justeru, Presiden I-Medik itu menggesa KKM konsisten dan tegas dalam melaksanakan perwataan premis larangan kerana rokok dengan jelas mendatangkan mudarat yang besar kepada kesihatan rakyat.

“Perwataan ini perlu diperluaskan lagi di tempat awam lain seperti terminal bas, pusat membeli-belah, pasar dan kawasan rekreasi,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tujuh individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan bermula 1 Januari 2019.

Terdahulu dilaporkan, tujuh pemohon itu memfailkan permohonan mereka secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melalui pemfailan e-filing, menerusi Tetuan Haniff Khatri.

Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52 Mohd Yazid Mohd Yunus, 48; dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kajian yang dilakukan menunjukkan 40 peratus kanak-kanak, 30 peratus wanita dan lelaki terdiri daripada perokok pasif turut terdedah kepada komplikasi rokok pada masa hadapan.

“Wanita mengandung dan warga emas terdedah kepada komplikasi rokok disebabkan tahap imuniti yang rendah.

“Merokok di premis dan di tempat-tempat awam memberikan kesan asap rokok terus kepada mereka yang berada bersama-sama dan berhampiran dengan perokok yang disebut sebagai perokok pasif.

“Tempat atau ruang di mana perokok merokok tidak terkecuali dihinggapi oleh debu-debu daripada asap rokok dan boleh memberikan kesan kepada orang awam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close