Uncategorized

Bekas Ketua Hakim Negara persoal wajibkah PTPTN membayar zakat

Adakah PTPTN 'seorang Islam' atau 'orang yang berimam'?: Tun Hamid

BANGI, 26 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan sama ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib membayar zakat atau tidak.

Sekiranya tidak wajib, maka ia harus diganti. Atau, Majlis Agama Islam Kedah yang menerimanya sebagai ‘zakat wajib PTPTN’ hendaklah mengembalikannya kepada PTPTN, kerana ia adalah pembayaran yang salah, katanya.

PTPTN diperbadankan (ditubuhkan) oleh Parlimen untuk tujuan tertentu dan diberikan kuasa tertentu oleh Parlimen. Sebagai perbandingan, Tabung Haji juga diperbadankan oleh Parlimen. Tetapi, terdapat sedikit perbezaan antara Tabung Haji dengan PTPTN.

Tabung Haji mempunyai pencarum (pemegang saham) yang beragama Islam, tetapi PTPTN tidak. Maka, apabila Tabung Haji membayar zakat, ia dikatakan membayar zakat bagi pihak pencarumnya, manusia yang beragama Islam. Hujah itu jelas tidak boleh digunakan bagi PTPTN yang tidak mempunyai pencarum.

Maka, apabila PTPTN membayar zakat, semestinyalah zakat itu adalah zakat dirinya, yang wajib baginya menunaikan sama seperti seorang Islam (orang yang beriman). Maka, soalnya, adakah PTPTN ‘seorang Islam’ atau ‘orang yang berimam’?

“Saya tidak akan membincangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Majlis Fatwa Selangor kerana perbincangan jawatankuasa itu adalah berkenaan syarikat-syarikat berhad yang mempunyai pemegang saham yang terdiri daripada manusia Islam dan bukan Islam.

“Seperti yang disebut di awal tadi, PTPTN tidak mempunyai pemegang saham. Maka, keputusan jawatankuasa-jawatankuasa itu mengenainya tidaklah berkenaan dengan PTPTN,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, isu PTPTN ini adalah ibarat hujung gunung ais yang mana semuanya bermula dengan kesilapan mengaplikasi ayat al-Quran tanpa analisis mendalam.

Malah katanya, ia turut berpunca daripada kegagalan membezakan antara entiti undang-undang bukan manusia (perbadanan) yang dicipta Parlimen dengan manusia yang dicipta oleh Allah sendiri.

“Ini (zakat) adalah antara kewajipan ke atas orang Islam atau orang yang beriman. Tetapi, sebelum kewajipan itu terkena kepada manusia, dia mestilah beriman terlebih dahulu.

“Jika suatu perbadanan tidak boleh beriman, maka ia bukanlah ‘orang yang beriman’ atau ‘seorang Islam’. Ia juga bukan kafir sebab ia juga tidak boleh menolak keimanan.

“Ia ibarat sebatang pokok. Tidak ada pokok Islam dan pokok kafir. Bezanya PTPTN dengan sebatang pokok ialah, walaupun PTPTN tidak boleh dilihat seperti sebatang pokok, ia diiktiraf undang-undang sebagai suatu entiti yang boleh berkontrak, memiliki harta atas namanya dan lain-lain,” katanya.

Wajibkah PTPTN bayar zakat?

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close