Artikel

Petunjuk Rasulullah ﷺ dalam pembentukan negara Islam

Hijrah ke Madinah bukan sebab takut diseksa kafir Quraish

1. Sebelum ini, kebanyakan kita apabila berbicara soal Hijrah Nabi ﷺ bermula dari Habsyah, Taif kemudian Madinah sering dibayangkan bahawa hijrah itu berlaku oleh keranan tekanan kafir Quraish, lalu umat Islam ketika itu ingin keluar daripada tekanan itu. Sebenarnya, pandangan itu kurang tepat.

2. Syed Qutb rahimahullah (Fi Zilal) menyebut kalau kita lihat sahabat nabi yang berhijrah ke Habsyah lagi bukanlah di kalangan mereka yang diseksa oleh Quraish Makkah. Tetapi, mereka adalah golongan pemimpin umat Islam ketika itu yang mempunyai kedudukan ternama dan perlindungan di Makkah.

Sebut sahaja seperti Jaafar bin Abu Talib, Zubair; Abd Rahman Auf; dan lain-lain. Hamba yang sedang terseksa tidaklah berhijrah dan masih kekal di Makkah. Jadi apa tujuan Nabi ﷺ suruh untuk berhijrah?

3. Menurut Abu Faris (al-Nizam Siyasi fi al-Islam), apa yang berlaku setelah lebih 10 tahun di Makkah ialah Islam ketika itu telah mencapai ke satu fasa yang memerlukan pembentukan sebuah negara yang lengkap. Dua daripada tiga unsur pembentukan sebuah negara telah wujud iaitu adanya pemerintah (Nabi ﷺ ) dan rakyat (masyarakat Islam). Jadi mereka memerlukan unsur yang ketiga iaitu tanah bagi melengkapkan pembentukan negara.

4. Al-Ghadban (Manhaj Haraki) menyebut bahawa Makkah tidak dipilih kerana tiada keamanan dan tiada kemampuan membentuk kuasa Islam yang mampu menguasai tempat itu.

Habsyah pula tidak dipilih atas beberapa sebab antaranya ia terlalu jauh dari Makkah, Raja Najashi tidak mempunyai kuasa wewenang, bangsa Habsyah berbeza dengan bangsa Arab jadi sudah tentu Arab tidak akan menerima kepimpinan Habsyah dan juga sejarah hitam peristiwa Tahun Gajah.

5. Jadi sebab itu Rasulullah ﷺ cuba ke Taif pula kerana keturunan Arab di Taif adalah antara yang dihormati Arab, tetapi apa yang berlaku Baginda ﷺ dihalau dari sana. Akhirnya yang dipilih ialah Madinah (Yathrib) setelah dibuat perjanjian politik (baiah Aqabah pertama dan kedua).

6. Semua perkara ini menunjukkan bahawa Hijrah Nabi ﷺ bukanlah sekadar ingin keluar daripada penyeksaan semata-mata. Tetapi di sana ada satu matlamat lain yang lebih besar, yang menuntut kepada hijrah iaitu membina sebuah negara.

Mereka percaya pelaksanaan syariat yang sempurna hanya dapat dicapai dengan terbentuknya sebuah negara. Sebab itulah ada sebahagian ulama sirah bila sebut mengenai peristwa ini disebut sebagai ‘revolusi politik’ (inqilab siyasi)

7. Pada sisi Islam, sebuah negara bukanlah berbicara soal kuasa semata-mata, tetapi ianya adalah sebahagian daripada penyempurnaan syariat itu sendiri.

Surrahman Hidayat (Taayush al Silmi Baina Muslimin wa Ghairahum) menyebut kewajipan mendirikan negara Islam adalah sebaris dengan kewajipan solat bagi seorang muslim.

Jadi adakah kita masih ragu-ragu ingin menyebut dan mempertahankan ‘Malaysia Negara Islam’?

#MalaysiaNegaraIslam

Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai MUIS

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close