ArtikelDr Aznan Hasan

Ibu bapa dan pemilihan sekolah untuk anak-anak

1- PERMULAAN pembukaan sekolah, setiap ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah akan cuba untuk mencari sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kepada mereka yang tidak mempunyai kewangan yang begitu teguh, mungkin tiada pilihan yang ada melainkan sekolah kerajaan.

Begitu juga terdapat ibu bapa yang berkemampuan dan mereka tetap menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan kerana para gurunya mempunyai latihan yang terbaik.

Pada saya, hujahan ini adalah betul. Siapa pun tidak boleh menafikan perkara ini. Guru-gurunya memang amat terlatih. Malah, dalam keadaan ini pun, tuan-tuan sepatutnya membuat pertimbangan atas kekurangan-kekurangan yang ada, dan memikirkan bagaimana menampungnya.

2- Sekolah kerajaan adalah milik semua. Ianya bukanlah milik sesiapa atau mana-mana parti. ‘Government of the Day’ adalah bertanggungjawab memastikan bahawa falsafah, silibus dan para pentadbir dan pendidik di sekolah-sekolah kerajaan, dan semua yang terlibat menunaikan tanggungjawab mendidik para pelajar untuk mencapai falsafah pendidikan negara, yang sudah tentulah bertunjangkan kepada perlembagaan negara Malaysia.

3- Adalah amat tidak cerdik untuk sesiapa sahaja menyatakan bahawa sekolah kebangsaan adalah dimiliki oleh mana-mana parti (walaupun parti-parti tersebut yang membentuk Government of the Day), lalu meminta orang yang tidak bersetuju dengan parti-parti yang membentuk ‘Government of the Day’ tersebut agar jangan hantar anak ke sekolah kerajaan, atau jangan kerja dengan sekolah kerajaan, dengan alasan Menterinya adalah “begitu” atau “begini”.

Siapa pun menterinya dan walau apapun partinya, semua yang terlibat mestilah mendokong falsafah pendidikan negara, yang bertunjangkan kepada perlembagaan Malaysia. Itu pasti.

Kalau beliau gagal membawa pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan untuk mencapai falsafah pendidikan negara yang bertunjangkan perlembagaan Malaysia, maka beliaulah yang patut letak jawatan.

Bukannya meminta rakyat yang tak bersetuju dengan parti-parti yang membentuk Government of the Day untuk tidak menghantar anak ke sekolah kerajaan atau berhenti daripada berkhidmat di sekolah-sekolah kerajaan.

4- Ada juga ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah swasta. Pelbagai alasan yang mereka punyai, namun ia bukanlah matlamat saya di sini.

5- Sebagai seorang ibu dan ayah, saya dan isteri juga tidak terlepas di dalam membuat penilaian kepada sekolah-sekolah ini. Sejak dari awal lagi kami menyedari bahawa tidak ada sekolah yang sempurna.

Sehebat mana sekalipun sesuatu sekolah itu, pasti terdapat aspek yang kita mengharapkan yang ia lebih baik lagi. Namun saya menyedari tiada sekolah yang sempurna. (Kita juga tidak sempurna, begitu juga orang lain. Terimalah kekurangan orang lain sepertimana orang lain juga menerima kekurangan kita).

6- Lalu apabila kami hendak membuat pilihan ke sekolah mana anak kami akan dihantar, kami akan berbincang tentang pro and kontranya sekolah-sekolah tersebut. Kami akan senaraikan kelebihan dan kekurangan sekolah-sekolah tersebut.

7- Untuk kami (mungkin juga boleh menjadi panduan kepada kepada tuan-tuan dan puan-puan), sebagai ibu bapa, kita perlu sedar bahawa terdapat tiga elemen penting yang membentuk sesuatu sekolah swasta, iaitu: i) Falsafah pendidikannya ii) Konsep dan modelnya iii) Pentabdir dan pendidik

8- Ini adalah tiga aspek yang utama;

i) Falsafah pendidikannya merangkumi (included but not limited to) visi, misi, objektif pendidikan dsb. 
ii) Konsepnya dan modelnya adalah umpama sekolah beraliran agama, bercampur antara agama dan akademik, peratus kedua-duanya, dsb. 
iii) Pentadbir dan pendidiknya, bermaksud siapakah yang menubuhkan dan mengendalikan sekolah tersebut.

9- Amat penting untuk melihat juga siapakah yang menubuhkan dan mengendalikan sekolah tersebut dan apakah cara dan corak pemikiran mereka. Adalah terlalu naif untuk merasakan bahawa sekolah-sekolah ini ditubuhkan dan ditadbir oleh penubuhnya (kumpulan atau individu), dan kemudiannya sekolah tersebut dibiarkan bergerak tanpa sebarang kesanan fikiran langsung (without any influence) daripada penubuhnya (founders) terhadap corak dan perjalanan sekolah tersebut.

Hanya orang yang naif sahaja yang merasakan sebegitu. Satu lagi perlu diingat, corak dan cara fikir ini juga boleh berubah-ubah (evolving). Jadi, tuan-tuan jangan hanya menganggap bahawa jika pada suatu masa, cara fikir penubuh dan pentadbir sekolah tersebut bersesuaian dengan cara fikir saudara, maka ianya akan selama-lamanya begitu.

Cara fikir saudara boleh berubah, begitu juga dengan cara fikir mereka. Sudah tentulah apabila corak dan cara fikir mereka berubah, ianya akan turut mengesani cara (approach) mereka mengendalikan sekolah-sekolah tersebut. Jadi, jika anda merasakan cara pemikiran pentadbir dan pengendali sekolah tersebut adalah berbeza dengan cara pemikiran anda, dan anda tidak mempunyai mekanisma atau kemampuan untuk menampung dan memperbetulkan cara fikir anak anda, maka elakkanlah sekolah-sekolah tersebut.

Sudah tentulah cara fikir pentadbir dan pengendali sekolah tersebut akan dicernakan di sekolah yang mereka kendalikan. Kalau tidak dalam silibus sekolah, pasti ada di dalam perkara lain, umpamanya aktiviti-aktiviti kokurikulum, pergaulan pelajar dan lain-lain. Jangan naif sehingga merasakan cara fikir pihak pentadbir tersebut tidak akan tercerna langsung. Mustahil.

10- Ini adalah perkara biasa. Sebab itulah Imam Hassan al-Banna amat menekankan pembentukan syaksiah Muslim sebagai batu asas utama dakwah beliau, kerana sehebat manapun sesuatu sistem, jika yang mengendalikannnya tidak betul akan terpesong, natijahnya tetap tidak baik. Sistem dan manusia yang mengendalikannya adalah dua elemen terpenting di dalam penbentukan apa juga sekalipun, termasuklah pendidikan.

11- Semua ini perlu dilihat oleh para ibu bapa di dalam membuat pilihan. Saya dan isteri juga tidak terkecuali. Apa yang kami buat ialah, meletakkan segala-galanya di atas meja (putting everything on the table).

Kemudiannya, kita menilai segala baik dan buruknya semua sekolah-sekolah tersebut, melihatkan kepada ketiga-tiga aspek tersebut. Di samping turut membuat penilaian lapangan (field assessment) kepada sekolah-sekolah tersebut.

Setiap kekurangan yang ada, maka kita bincang bagaimana untuk kita tampung kekurangan-kekurangan tersebut. Apakah kekurangan-kekurangan tersebut vital atau tidak ke atas pendidikan dan pembentukan anak-anak? Kita boleh tampung atau tidak, dsb? Kita berbincang berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang kita dapat daripada sumber yang pelbagai.

Jika tuan-tuan merasakan bahawa ada perkara-perkara pokok yang tuan tidak bersetuju dengan sekolah-sekolah tersebut (dari segi cara fikir, tanggapan, nilai dll) dan tuan merasakan dengan kekurangan tuan-tuan, tuan-tuan tidak mungkin dapat menampungnya, maka jika saya di tempat tuan, saya tidak akan hantar anak saya ke sekolah tersebut.

Saya tidak akan mengambil risiko anak saya akan dibentuk berbeza dengan sistem dan nilai-nilai hidup yang saya percaya.

12- Apabila kami telah bersetuju untuk sesuatu sekolah, maka kami akan melihat bagaimanakah kekurangan-kekurangan yang ada tersebut dapat kita tampung, termasuk jugalah jika sekiranya berkemungkinan terdapat cara fikir yang (pada kami) tidak tepat.

Bagaimanakah untuk kita dapat pastikan bahawa kita akan tahu tentang perkara tersebut dan kita dapat betulkan kembali cara fikir tersebut. Alhamdulilllah, isteri saya memainkan peranan yang amat besar dalam hal ini.

Mungkin kerana kesibukan saya dan juga sememangnya beliau pandai mencari masa dan ruang untuk ‘mengorek’ dan memberikan sudut pandangan yang lain untuk anak-anak. Kadangkala saya mendengar juga cara beliau membentangkan pandangan beliau dan berhujah. Kadangkala dalam kereta pun masih sempat. Hmm. Menarik. Kemampuan beliau, yang saya agak kurang jika hendak dibandingkan. Kadangkala penerangan saya tak ‘turun level’ sangat. Jadi beliau yang tolong turunkan ‘level’ tersebut dan buat anak-anak faham. 

13-  Pada saya, inilah antara asas-asas pertimbangan untuk memilih sekolah untuk anak-anak kita. Buat penilaian sendiri. Jangan hanya mendengar cakap-cakap orang. Timbang tarakan segala pro dan contra berdasarkan tiga aspek yang saya sebutkan di atas. Mungkin tulisan ini sedikit sebanyak membantu. Pengalaman kerdil saya menyatakan bahawa anak-anak kita juga tidak sama. Tahap kematangan mereka juga berbeza-beza.

Pendidikan anak-anak kita adalah suatu tanggungjawab yang besar. At the end of the day, kita jugalah yang menjadi pendidik awal dan akhirnya. Buat saya dan isteri, saya berpuas hati dengan sekolah-sekolah yang kami pilih untuk anak-anak kami, dulu dan sekarang (rasanya tak perlulah nak sebut sekolah mana, nanti kata nak promote pulak).

Mudah-mudahan tulisan umum dan ringkas ini dapat membantu tuan-tuan dan puan-puan dalam membuat penilaian, walaupun dah agak lewat tulisan ini. 

Baca dengan tenang dan senyum, walaupun kandungannya serius. Wallahu A’lam.

Ahli Majlis Syura Majlis Ulama’ Isma (MUIS)

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close