Pendapat

Jauhi rasuah, korup

Rasulullah ﷺ melaknat pemberi dan penerima rasuah

1. Rasulullah ﷺ amat menitik beratkan isu intergriti orang beriman. Elemen yang boleh mencalar kredibiliti muslim seperti rasuah dan korupsi amat ditentang.

Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith yang keras berhubung larangan rasuah. Sabda Rasulullah ﷺ:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: Rasulullah ﷺ melaknat pemberi dan penerima rasuah.

Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat.’ Bererti perbuatan rasuah ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.

2. Dengan sebab itu al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar (murtakib al-kabirah) (Subul al-Salam & al-Kaba’ir).

Malah al-Imam al-Qurtubi menegaskan bahawa penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasik. (Jami li Ahkam al-Quran)

3. Secara umumnya, seorang yang melakukan dosa besar dan digelar sebagai fasik ini tidak seharusnya dilantik sebagai pemimpin. Ini kerana, syarat asas bagi seorang pemimpin muslim adalah bersifat adil dan amanah. Pesalah rasuah tidak memiliki dua sifat ini.

4. al-Imam al-Mawardi membahagikan fasiq kepada dua. (1) Pertama, fasik dari aspek fizikal iaitu melakukan perkara munkar dengan fizikal seperti menerima rasuah, melakukan zina atau minum arak. Sekiranya pemimpin melakukan perlakuan ini secara zahir, maka tidak seharusnya mereka dilantik.

Kata al-Imam al-Mawardi:

فَأَمَّا الْأَوَّلُ مِنْهُمَا فَمُتَعَلِّقٌ بِأَفْعَالِ الْجَوَارِحِ، وَهُوَ ارْتِكَابُهُ لِلْمَحْظُورَاتِ، وَإِقْدَامُهُ عَلَى الْمُنْكَرَاتِ تَحْكِيمًا لِلشَّهْوَةِ وَانْقِيَادًا لِلْهَوَى، فَهَذَا فِسْقٌ يَمْنَعُ مِنِ انْعِقَادِ الْإِمَامَةِ وَمِنِ اسْتِدَامَتِهَا

Maksudnya: Adapun jenis fasi yang pertama yang berkaitan dengan fizikalnya, iaitu dia melakukan sesuatu yang dilarang, dan mengutamakan kemunkaran dengan berhukum dengan hawa nafsu, ini adalah fasik yang menjadi penghalang kepada seseorang daripada dilantik sebagai pemerintah atau mengekalkannya.

5. Pesalah rasuah adalah mereka yang telah disabitkan dengan jenayah, yang dinilai sebagai melakukan dosa besar dan dikategorikan sebagai orang fasik disisi sarjana Islam.

Apakah boleh kita memberikan tanggungjawab dan amanah yang besar ini kepada mereka?

Sekiranya dia tidak disabitkan dengan jenayah rasuah, seharusnya pemimpin menjauhi perkara yang boleh membawa kepada perbuatan ini.

Semoga umat Islam dikurniakan pemimpin di kalangan mereka yang tidak mengamalkan rasuah.

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close