Berita UtamaPendapatUtama

MELAYU, BUMIPUTERA

Ucapan dasar Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Perhimpunan Agong Tahunan Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 21 Rabiulakhir 1440H (29 Disember 2018)

1. Bersyukurlah kita kerana dapat bersama-sama mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-2 bagi parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini. Berada di PICC ini pun adalah satu kejayaan. Dahulu kita tidak pun dapat berdekatan di sini. Alhamdulillah.

2. Kesyukuran ini juga kerana kita dapat mengadakan perhimpunan ini dengan penuh rasa tenang dan atas kesedaran bahawa kita telah berjaya mencapai sebahagian besar dari perjuangan PPBM.

3. Jika pada perhimpunan yang pertama kita hanyalah sebuah parti pembangkang yang dianggap tidak berkeupayaan menandingi gabungan parti pemerintah, kita berhimpun pada kali ini sebagai satu anggota gabungan yang memerintah.

4. Kerana itu kita perlu bersyukur. Walaupun kita yakin kemenangan itu datang dari kerja kuat ahli-ahli parti dan rakan-rakan dari komponen Pakatan Harapan, semestinya kita menyedari bahawa ianya ditentukan oleh Allah S.W.T jua. Kita berdoa kepada Allah meminta sesuatu bagi kita. Tetapi jangan kita lupa Allah tidak akan makbulkan permintaan jika kita tidak berusaha sendiri kearahnya.

5. Kejayaan ini tidak harus menjadikan kita bongkak. Sifat bongkak itu amat dibenci Allah S.W.T. Selain dari itu ia juga tidak disukai oleh masyarakat. Apabila kita bongkak dan sudah tidak disukai oleh masyarakat, kemenangan kita tidak akan berulang.

6. Kemenangan bukan untuk kita gembira sahaja. Ia datang dengan satu tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab yang perlu kita tunaikan ialah memenuhi janji kita semasa berkempen, dan juga yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan.

7. Semasa kita berkempen kita tidak tahu dengan mendalam akan keadaan kerosakan yang telah menimpa negara. Hanya setelah kita mengambil-alih Kerajaan, barulah kita tahu kerosakan yang berlaku amatlah teruk dan merangkumi hampir setiap bahagian pentadbiran Kerajaan. Walaupun sudah tujuh bulan sejak kita mengambil alih tampuk Kerajaan, kita masih menemui kerosakan dalam jentera Kerajaan dan kewangan negara yang tersembunyi dahulu.

8. Malangnya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan Kerajaan terdahulu. Mereka hanya ingin lihat hasil pemulihan negara oleh kita. Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undangundang yang diambil terhadap pemimpin dahulu. Sebaliknya dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita tangani masalah. Masalah yang ditinggal oleh mereka. Jika mereka begitu pandai, kenapakah mereka tidak betulkan kerosakan semasa mereka memerintah dahulu.

9. Di dalam negara, Peguam Negara telah memulakan langkah-langkah awal untuk mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu atas kesalahan salah-guna kuasa dan rasuah oleh mereka. Tindakan yang diambil ke atas mereka bukan disebabkan oleh perasaan balas dendam oleh kita, tetapi hanya kerana menghormati pemerintahan undang-undang.

10. Amatlah mengecewakan apabila ada yang menolak kesalahan yang jelas telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu. Jika kesalahan mereka tidak diproses mengikut undang-undang maka kita akan dituduh melepas geram dan membalas dendam. Tetapi proses undang-undang mengambil masa. Untuk dilihat kita memerintah mengikut undangundang kita perlu terima kelewatan proses.

11. Sudah tentu percubaan pemimpin-pemimpin dahulu untuk sekarang menjadi juara orang Melayu dengan mengambil bahagian dalam demonstrasi baru-baru ini tidak ikhlas. Rakyat tidak akan tertipu dengan perbuatan ini. Jika mereka ikhlas, masalah yang kita hadapi tidak akan berlaku.

12. Apa yang sebenar berlaku ialah parti yang dahulu disanjung tinggi kerana perjuangan melawan Malayan Union dan memerdekakan negara, sudah ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu, kerana terlibat dengan rasuah, pencurian dan pengamalan pemerintahan kleptokrasi. Hari ini mereka hancur berkecai kerana perbuatan mereka sendiri.

13. Hari ini yang penting ialah pemerintahan Negara yang baik oleh kita – kita dalam Parti Bersatu bersama rakan kita dalam Pakatan Harapan. Setakat ini kita berjaya menubuh Kerajaan di Peringkat Pusat dan di beberapa buah negeri. Tidak ada rusuhan berlaku. Pemerintahan kita membawa ketenangan dan kestabilan yang menjayakan rakyat dan pelabur. Ekonomi negara sekarang tumbuh dengan baik walaupun dunia tidak stabil.

14. Hutang kita sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran pun dibersih dan dipulih semula. Malangnya rakyat, terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi.

15. Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan (PH) tidak mampu. Sebabnya kita tidak mampu ialah kerana kita tidak selewengkan wang Kerajaan. Lagipun sebahagian yang tidak kecil dari pendapatan Kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi. Jika hutang tidak dibayar maka kita boleh menjadi muflis – bankrap. Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Tidak akan ada wang sedikit pun untuk bantu rakyat. Inilah malapetaka yang dibawa oleh Kerajaan dahulu.

16. Kita sedang usaha menurunkan harga barang. Tetapi ini akan mengambil masa sedikit. InsyaAllah kos sara hidup akan turun.

17. Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah parti Melayu / Bumiputera seluruh Malaysia. Ia ditubuh kerana UMNO, parti Melayu sudah tidak lagi mengutamakan perjuangan asal parti itu – iaitu melindungi dan memajukan orang Melayu dan Bumiputera.

18. UMNO ditubuh kerana orang Melayu sangsi akan kemampuan mereka bersaing dengan kaum lain di Malaysia, terutama apabila merdeka. Di zaman British mereka sudah pun ketinggalan, miskin dan lemah. Hanya dengan bersatu dalam parti politik baharulah mereka dapat yakinkan diri mereka bahawa hak mereka sebagai anak watan tidak akan terlucut dan mereka akan terpinggir di negara mereka sendiri. Penubuhan UMNO meyakinkan mereka bahawa kuasa politik Melayu/Bumiputera boleh menjaminkan keselamatan mereka.

19. Selama 50 tahun lebih setelah merdeka kedudukan mereka terpelihara walaupun kuasa mereka semakin lemah kerana perpecahan di kalangan mereka.

20. Kemudian kepimpinan yang mengambil alih pada 2003 menukar haluan. Dari sebuah parti yang menjadi juara orang Melayu dan Bumiputera, UMNO diubah menjadi alat untuk perkaya diri pemimpin. Rasuah oleh pemimpin berkembang dengan pesat sehingga melibat bukan sahaja pemimpin politik tetapi sebahagian dari anggota Kerajaan. Kepimpinan Kerajaan sendiri menjadi pengamal utama rasuah dalam negara. Dengan itu pengamalan rasuah berkembang dikalangan pemimpin politik dan juga pentadbiran.

21. Rakyat menderita kerana harga barangan dan khidmat yang tinggi. Khidmat dari anggota Kerajaan juga tinggi kerana rasuah. Peniaga dibelasah dengan lebih teruk lagi, dipaksa membayar cukai yang tidak mengikut undang-undang.

22. Cogankata negara dialih kepada “Cash is King”. Duit itu Raja. Maka seluruh anggota Kerajaan, politik dan pentadbiran mengejar wang tanpa mengambil kira halal atau haram.

23. Semua ini merosakkan negara terutamanya kewangannya. Daripada sebuah parti yang demokratik, UMNO sudah jadi suatu dictatorship yang tugas utamanya ialah mengekal pemimpin tertingginya. Wang yang dicuri ditabur untuk mendapat sokongan rakyat. Dan rasuah pun merebak luas.

24. Pemimpin UMNO yang tidak senang dengan apa yang sudah berlaku kepada parti cuba membawa balik parti ke landasan asal, tetapi gagal. Nasihat ditolak oleh pucuk kepimpinan. Khidmat kepada negara dan rakyat tidak dianggap boleh menawan hati rakyat. Yang diperlukan ialah sogokan wang. Jika duit tidak cukup, duit dipinjam atas nama Kerajaan, tetapi duit itu dicuri untuk sogok rakyat.

25. Maka pemimpin UMNO yang sedar akan pertukaran matlamat dan dasar yang berlaku memilih untuk keluar dari UMNO dan menubuh parti lain. Jika parti baru ini berhasrat mendapat sokongan orang Melayu, maka ia hendaklah menjadi parti Melayu. Ternampak jelas parti campuran kaum belum dapat diterima oleh orang Melayu. Sebaliknya tanpa sokongan pengundi Melayu, tidak mungkin mana-mana parti kalahkan UMNO.

26. Dengan itu maka ditubuhlah parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Parti ini adalah parti Melayu Bumiputera dari segi keahliannya. Tetapi itu sahaja persamaan dengan UMNO selepas 2003. Kita tidak ingin menjadikan UMNO selepas 2003 sebagai contoh bagi kita. Sebaliknya kita, Parti Pribumi dengan ikhlas berjuang untuk Pribumi. Soalnya kenapakah keutamaan diberi kepada pribumi dalam negara berbilang kaum. Tentulah PPBM ini menjadi parti perkauman.

27. Kita sudah merdeka lebih dari 60 tahun. Di waktu kita mencapai kemerdekaan harapan kita ialah Malaysia akan menjadi negara satu bangsa yang bertutur kata dalam satu bahasa, berbudaya yang sama. Tetapi harapan ini tidak menjadi kenyataan. Masing-masing kaum tegas untuk kekalkan identiti kaum mereka. Dengan ini kewujudan satu bangsa terhalang, tidak tercapai. Ini tidak berlaku di negara-negara berbilang bangsa yang lain, umpamanya Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Thailand.

28. Pengasingan identiti ini tidak mengapa jika tidak terdapat pengasingan dalam aktiviti hidup dan kemajuan. Rata-rata kita dapati pengasingan kawasan juga i.e. kaum-kaum tidak tinggal bersama, tetapi di kawasan masing-masing. Ini pula mengasingkan aktiviti hidup yang berlainan. Umpama satu kaum ramai di bandar, satu kaum di desa dan satu lagi di ladangladang. Perpisahan ini mempunyai kesan kepada kemajuan ekonomi dan agihan kekayaan antara mereka. Umumnya yang tinggal di bandar lebih maju dan kaya dari yang tinggal di desa.

29. Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera lain bermastautin di desa maka mereka kurang maju berbanding dengan kaum di bandar.

30. Sekarang ini pula bandar sedang berkembang dengan luasnya. Kerana kemiskinan penduduk bumiputera dipinggir bandar sering menjual tanah mereka dan berpindah jauh dari bandar, iaitu ke kawasan yang kurang peluang untuk menjana kekayaan. Maka jarak perpisahan antara yang tinggal di bandar dan di luar bandar pun menjadi lebih jauh.

31. Semua yang berlaku ini menakutkan orang Melayu di luar bandar dan orang Melayu dalam bandar yang lebih prihatin terhadap nasib masa depan mereka. Mereka mencari perlindungan dari nasib yang buruk yang akan menimpa mereka, bahkan sudah pun menimpa mereka.

32. Sebenarnya keselamatan mereka hanya dapat ditentukan oleh mereka sendiri dengan meningkatkan keupayaan mereka. Dengan perkataan lain mereka hendaklah kejar ilmu dan kecekapan dan sanggup bertekun dalam usaha menjayakan diri mereka. Tetapi mereka sudah begitu jauh ketinggalan dibelakang sehingga sukar bagi mereka mengejar kaum yang kaya. Mereka berpendapat mereka perlu dilindungi dan untuk ini, pada pendapat mereka hanya boleh dilakukan oleh kaum mereka sendiri melalui politik. Sebab itulah parti yang disertai dan dipimpin oleh mereka sendiri perlu diadakan.

33. Inilah sebab-sebabnya kita tubuh Parti Pribumi Bersatu sebagai parti Melayu dan Bumiputera. Sementara kita lindungi Melayu/Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain. Tidak pernah sepanjang kita merdeka ada rampasan dibuat.

34. Buat beberapa abad negara telah perkenal Dasar Ekonomi Baru; dasar yang bertujuan mengurangkan jarak perpisahan antara kaum. Dasar ini telah menambah sedikit kejayaan dan kemajuan bumiputera. Tetapi oleh kerana pesaing mereka melonjak lebih jauh dan pantas, maka jarak perpisahan juga menjadi terlalu luas untuk mereka sendiri melintasi.

35. Kita orang Melayu dan juga bumiputera lain mesti pegang kepada kebenaran. Meletak kesalahan kepada orang lain memang sedap tetapi mereka tidak akan betulkan diri mereka untuk menyelesaikan masalah kita. Sebaliknya jika kita akui bahawa ada juga kesalahan pada diri kita, maka bagi yang ikhlas dan jujur, pembetulan boleh dibuat oleh kita. Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain.

36. Saya, tidak ingin sebut di sini apakah kesalahan kita. Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh Kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan.

37. Sebabnya ialah sambutan oleh kita tidak seperti dirancang dan diharapkan. Kerajaan boleh adakan dasar dan layanan kepada kita tetapi jika sambutan oleh kita masih seperti dahulu, hasilnya akan menjadi sama dan mengecewakan.

38. Dalam percubaan Dasar Ekonomi Baru kita dapati kaum wanita lebih serius dan berjaya dari kaum lelaki. Di mana-mana sahaja kita dapati kejayaan yang tinggi didapati oleh kaum wanita. Ada di antara yang sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita. Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik. Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi.

39. Oleh itu kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak juga kepada kaum wanita termasuk di kampung. Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka.

40. Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran bagi mereka akan ditambah. Keutamaan akan diberi kepada catitan urusan perniagaan. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka. Mereka yang berjaya akan dibantu lagi. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar.

41. Berkenaan dengan peluang bekerja dalam Kerajaan dan swasta, yang menjadi ukuran ialah kelulusan yang baik dan pengalaman yang luas. Diskriminasi terhadap wanita semata-mata kerana jenis mereka akan dihapuskan.

42. Generasi muda juga akan diberi layanan istimewa, Dalam pertanian dan perniagaan kita kerap mencuba menjayakan mereka yang sudah ada dalam bidang-bidang ini. Hakikatnya ialah yang sudah dewasa sukar untuk menerima cara-cara dan teknologi baru. Sebaliknya yang muda lebih mudah dibentuk dan disemai dengan cara-cara baru. Kita lihat umpamanya penggunaan komputer dan telefon bimbit lebih mudah dikuasai oleh generasi muda berbanding dengan generasi tua.

43. Ramai dari generasi muda lebih terlatih dan berpelajaran. Pengalaman mereka mungkin kurang. Tetapi ini boleh diatasi dengan pendedahan kepada kerja sebagai pekerja upahan.

44. Hari ini terdapat contoh-contoh yang baik dikalangan orang muda dalam bidang industri, pertanian moden dan ternakan.

45. Negara kita amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing. Sebaliknya barangan ini boleh dikeluarkan dalam negara kita.

46. Generasi muda akan diberi latihan dan peluang untuk memasuki bidang-bidang ini. Bermula dengan bekerja sebagai tenaga upahan, yang berminat boleh diberi peluang dan dibantu untuk memasuki bidang yang hampir sama, sebagai entrepreneur.

47. Saya tumpukan kepada apa yang akan dilakukan oleh pemimpin politik dari PPBM dalam Kerajaan Pakatan Harapan kerana masa berpolitik sudah berakhir. Kita sekarang menjadi sebahagian dari Kerajaan yang memerintah. Dan Kerajaan yang memerintah berkuasa untuk melayani keperluan rakyat. Kuasa sebagai pemimpin dalam Kerajaan bukan untuk dibanggakan. Ia juga bukan untuk mendapat keuntungan bagi diri sendiri. Kuasa pemimpin Kerajaan ialah untuk memaju dan membangun negara. Dari ini rakyat akan hidup lebih selesa dan sempurna.

48. Matlamat kita masih sama. Kita ingin jadikan negara ini negara maju setaraf dengan negara maju yang lain. Negara maju tidak bermakna jika kita, sebagai sebahagian dari rakyat negara, terus tidak maju seperti kemajuan yang dicapai oleh rakyat lain. Kita tidak hendak jadi puak yang miskin di negara yang kaya. Nikmat dalam negara ini hendaklah dikecapi bersama oleh semua kaum.

49. Ada di antara kita yang berpendapat bahawa kemajuan boleh dicapai jika dihentikan bantuan oleh pemerintah. Yang anehnya ialah orang yang mempunyai pendapat sedemikian mendapat kemajuan kerana dibantu oleh Kerajaan, diberi peluang dan tempat dalam Kerajaan.

50. Bagi yang lemah, tongkat boleh membantu. Bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan. Apabila sahaja kekuatan kembali tongkat perlu digugur.

51. Pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah. Mengekalkan tongkat kerana kemuliaan bagi diri tidak berasas. Sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran – mereka inilah orang yang mulia.

52. Kita jangan tipu diri. Memanggil diri kita Tuan tidak menjadikan kita Tuan jika kita masih menjadi kuli orang.

53. Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Parti mereka kalah dan berpecah sehingga secara berkesan tidak wujud lagi. Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak tahu apa yang sudah jadi pada mereka. Ada yang keluar dari UMNO, ada cuba hidupkan UMNO. Ada yang masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendiri Kerajaan campuran. Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin Kerajaan campuran baru ini.

54. Semua harapan ini meleset, mimpi Mat Jenin, mimpi akan sesuatu yang tidak berasas dan tidak akan berlaku.

55. UMNO sudah hancur, dihancur oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit. Sebuah parti yang mulia, dibangun untuk menyelamatkan kaum bangsa Melayu, sekarang dikalah, dihina dan tidak terdaya dipulih semula.

56. Malangnya yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu, penduduk pribumi di Negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka.

57. Apakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan bumiputera lain harus berdiam diri dan membiar kehancuran Melayu / Bumiputera berterusan. Walaupun kita bukan pewaris UMNO tetapi kita bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.

58. Rasis, perkaumankah ini? Dalam negara satu etnik pun apabila berlaku perpisahan yang terlalu jauh antara yang miskin dan yang kaya, sejarah melapor bahawa rusuhan berlaku, perang saudara akan tercetus dan Negara akan hancur.

59. Apatah lagi jika perpisahan antara miskin dan kaya ditambah dengan perpisahan antara kaum, yang miskin dari satu kaum, yang kaya dari kaum lain.

60. Kombinasi antara dua faktor ini amatlah merbahaya. Ia boleh mencetuskan rusuhan yang serius dan mendalam. Rusuhan akan membawa malapetaka kepada semua rakyat Malaysia. Tidak semestinya rusuhan akan berlaku. Tetapi ralatkah kita ketepikan kemungkinan.

61. Kaum tidak dapat ditukar. Tetapi jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan jika tidak pun dihapuskan.

62. Tidak bertanggungjawablah kita jika kita tidak cuba elak dari rusuhan kaum dengan sekurang-kurangnya mengurangkan jarak antara miskin dan kaya.

63. Melayu sekarang sudah keliru, kehilangan pemimpin, kehilangan haluan. UMNO sudah tidak ada lagi. Siapa, parti yang mana yang boleh mereka bergantung?

64. Jikalau tidak Bersatu, parti mana? Mungkinkah PAS? Saya tak nak komen. Pilihlah PAS. Ia bukan pilihan saya.

65. Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?

66. Ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas ahli UMNO oleh Bersatu. Mereka takut bekas-bekas ini akan membawa masuk budaya UMNO.

67. Kita Bersatu tidak mudah terima. Ada syarat. Mesti keluar dari UMNO dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan Bersatu. Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas UMNO. Hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod akan dikaji dengan teliti.

68. Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU 15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya UMNO, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan.

69. Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara UMNO. Bersatu bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih. Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita.

Mereka akan bekerjasama dengan kita.

70. Dengan itu kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu – pelindung sementara – kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri.

71. Lindungan bagi kita akan terhasil jika kita tidak miskin. Selagi kita miskin kita tidak akan berasa selamat. Bukan politik, bukan kuasa politik, bukan parti politik yang boleh melindungi kita. Kita sudah lihat bagaimana parti politik kita yang terkenal kekuatannya, tetapi parti politik inilah yang meletak kita dalam keadaan amat bahaya.

72. Tetapi jika kita kaya, jika kita berjaya dalam semua bidang, tidak ada siapa yang boleh ancam kita.

73. Tetapi bagaimanakah kita boleh berjaya, boleh jadi kaya dan maju. Sebenarnya kita ada kebolehan. Tetapi kebolehan yang tidak diguna oleh kita, tidak akan menjayakan kita.

74. Bersatu tahu bagaimana kita boleh berjaya, bagaimana kita boleh selamatkan diri kita, orang Melayu dan bumiputera lain.

75. Tak perlu saya ulas di sini bagaimana Bersatu boleh ubah nasib orang Melayu / Bumiputera. Yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

76. Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri mereka sendiri.

77. Kita bersidang bukan kerana perlembagaan kita suruh kita bersidang: bukan kerana takut ROS. Kita bersidang kerana kita berhasrat menyelamatkan orang Melayu. Kita bersidang kerana kita ingin majukan orang Melayu.

78. Kita bersidang kerana kita berhasrat memulihkan maruah bangsa kita.

79. Inilah tujuan kita berpolitik. Bukan kerana nak jadi Perdana Menteri, atau Menteri, atau Menteri Besar dan Ketua Menteri.

80. Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat.

81. Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja. Hasil pengorbanan kita akan dihargai oleh anak cucu kita. Akan berkatalah mereka, jika tidak kerana pengorbanan oleh kita, maka akan tertinggallah mereka dipinggir hutan, miskin papa di tanahair mereka.

82. Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu / Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.

83. Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan. Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita.

Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.

84. Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak. Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita. Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah, wassallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close