ArtikelDr Ahmad Sanusi Azmi

Martabatkan sifat malu seorang muslim

1. SIFAT malu adalah satu izzah (kemuliaan) buat seorang Muslim. Perkara ini digambarkan oleh Rasulullah ﷺ ketika Baginda menceritakan tentang sifat Saidina Uthman. Kesan mempunyai sifat malu yang benar, Rasulullah memuji Uthman lalu berkata pada para sahabat:

أَلَا أَسْتَحِي مِنْ رَجُلٍ تَسْتَحِي مِنْهُ الْـمَلَائِكَةُ

“Tidakkah kalian berasa malu dengan seorang lelaki yang disegani oleh para malaikat?” (HR Muslim)

Hadith ini seolah memberikan kepada kita gambaran tentang mulianya sifat malu itu. Malu yang benar menyebabkan bukan sahaja seseorang itu dihormati oleh manusia, malah disegani oleh para malaikat.

2. Rasulullah ﷺ turut pernah berpesan kepada kita bahawa sifat malu akan mendatangkan kebaikan buat Muslim. Sabda Baginda Nabi:

الْحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلاَّ بِخَيْرٍ

“Sifat malu tidak akan datang melainkan dengan kebaikan.”

3. Saidina Umar, pemimpin Muslim yang ulung turut menekankan perkara ini. Menurut Saidina Umar, sifat tidak malu akan mencacatkan peribadi Muslim itu sendiri. Kata Umar:

من قلَّ حياؤه قلَّ ورعه , ومن قل ورعه مات قلبه

“Barangsiapa yang kurang malunya, kuranglah sifat waraknya. Barangsiapa yang kurang sifat waraknya, matilah hatinya.” (Ibn Hibban, Raudha al-Uqala)

4. Memelihara diri daripada melakukan perkara yang dilihat memalukan ini adalah sebahagian dari nikmat Allah. Abu Muslim al-Khaulani, seorang tokoh sarjana Muslim menegaskan perkara ini. Kata beliau:

من نعم الله عليَّ : أنني منذ ثلاثين سنة ما فعلت شيأً يُسْتحيا منه , إلا قربي من أهلي

“Salah satu dari kurniaan (nikmat) Allah ke atas diriku adalah: sejak 30 tahun, aku tidak pernah melakukan perkara yang dilihat memalukan (atau aku malu dengannya) melainkan (hanya) bersama keluarga terdekat sahaja. (al-Sya’rani, Tanbih al-Mughtarin)

5. Rasulullah ﷺ sangat menjaga hubungan dan pertuturan dengan wanita. Baginda memelihara komunikasi dengan wanita sekalipun dalam urusan yang penting. Ketika berlakunya bai’ah al-Nisa (perjanjian taat setia Muslimah) dengan Rasulullah, Rasulullah hanya menjalankan proses bai’ah dengan wanita dari jauh sahaja.

6. Begitulah panduan Islam tentang sifat malu. Baginda dan sahabat adalah contoh terbaik dalam perkara ini. Mereka amat menjaga diri mereka dari melakukan perkara yang boleh mendatangkan fitnah. Sifat malu akan mendatangkan izzah (kemuliaan) buat pemimpin Muslim.

7. Teringat saya kata-kata Saidina Umar:

فمهما ابتغينا العزة من دونه أذلنا الله

“Maka apabila kita mengejar izzah (kemuliaan) selain dari Islam, maka Allah akan menghina kita.”

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close