Berita UtamaUtama

VIDEO |Henti buat spekulasi kes culik di masjid

Suspek mualaf sering minta wang kepada pengunjung, kes diserah kepada polis


BANGI, 22 Rabiulakhir 1440H, Ahad
– Pihak Masjid Seri Melati di Selayang hari ini meminta orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi berhubung video tular cubaan menculik kanak-kanak perempuan di masjid berkenaan.

Timbalan Nazir Masjid Seri Melati, Muhammad Syahdan Shamsudin berkata, kenyataan tular yang menyatakan ‘cubaan menculik’ perlu diteliti semula kerana boleh menyebabkan jemaah takut untuk hadir ke masjid itu.

Katanya, rakaman CCTV menunjukkan cubaan menculik itu diambil setelah pihak masjid menerima laporan daripada ahli jemaah, dan ia diserahkan kepada pihak penganjur untuk dijadikan bukti laporan kepada pihak polis.

“Untuk makluman, kejadian itu berlaku pada 28 Disember 2018 (Jumaat), jam 11 pagi di koridor aras bawah bangunan Masjid Seri Melati sewaktu kursus guru-guru tadika Islam di Dewan Utama.

“Lelaki yang melakukan perbuatan terbabit adalah seorang lelaki gelandangan berbangsa India OKU (Orang Kurang Upaya) mualaf yang sering berkeliaran di sekitar Selayang Jaya dengan meminta duit untuk membeli makanan kepada sesiapa yang ditemuinya.

“Bagaimanapun, perbuatan ‘body contact’ yang dibuat boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah,” katanya dalam satu kenyatan.

Terdahulu, satu rakaman tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dilihat cuba menculik kanak-kanak perempuan di dalam masjid.

Rakaman CCTV menunjukkan, kanak-kanak perempuan terbabit berlegar-legar di koridor masjid sebelum ditarik suspek.

Suspek kemudian dilihat cuba menutup mulut mangsa, bagaimanapun seorang wanita yang melihat kejadian itu bertindak menarik kanak-kanak perempuan itu daripada lelaki terbabit.

Suspek bagaimanapun tidak terus lari dari lokasi, sebaliknya berdiri di tempat kejadian memperkatakan sesuatu kepada wanita berkenaan.

Polis Gombak ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas kes berkenaan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close