Uncategorized

Bersatu tambah peluang jana pendapatan wanita

Modal, peluang dan kontrak akan diberikan, Amanah Ikhtiar Malaysia diperbesar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

PUTRAJAYA, 21 Rabiulakhir 1440H, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berusaha membantu golongan wanita memperkasakan kebolehan mereka bagi menjana pendapatan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu dibuat selepas melihat kepada percubaan Dasar Ekonomi Baru, wanita didapati lebih serius dan berjaya berbanding lelaki.

“Di mana-mana sahaja kita dapati kejayaan yang tinggi didapati oleh wanita. Ada di antara yang sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita.

“Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik. Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.

Oleh itu, katanya, Bersatu akan menambah modal, peluang, lesen dan kontrak kepada wanita termasuk yang berada di kampung.

“Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baharu kepada mereka. Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran akan ditambah. Keutamaan akan diberi catitan urusan perniagaan.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesarkan perniagaan mereka,” katanya.

Malah, bukan itu sahaja, beliau berkata, pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang memperoleh kejayaan yang besar.

“Berkenaan dengan peluang bekerja dalam kerajaan dan swasta, yang menjadi ukuran ialah kelulusan yang baik dan pengalaman yang luas. Diskriminasi terhadap wanita semata-mata kerana jantina akan dihapuskan,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close