Kata Pedang

VIDEO | Pabila Melayu bergaduh

Kalau ramai-ramai serbu gajah pun tumbang. Cuba satu sama satu...

KAUM lain ketawa kerana orang Melayu yang semuanya beragama Islam gagal mengawal perasaan. Gagal menahan amarah sebagaimana dituntut Islam.

Tidak kira siapa pun yang menjadi punca perbalahan, beginilah yang kerap kali berlaku di kalangan bangsa Melayu – berani terhadap bangsa sendiri.

Pedang tahu, ramai remaja dan pemuda Melayu hanya tunjuk berani dengan bangsa sendiri, terutama apabila menyertai mana-mana kumpulan haram atau ‘geng’.

Banyak kumpulan haram atau ‘geng’ Melayu di seluruh Malaysia sekarang ini. Pedang kata ‘kumpulan haram’ sebab ianya tidak didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Macam-macam nama yang diberi kepada kumpulan masing-masing. Tak perlu Pedang sebut nama-nama itu, sebab mereka sudah dikenali di kawasan masing-masing.

Tapi, secara umumnya ketika kumpulan-kumpulan ini sedang mengumpul ahli, mereka memberitahu bahawa penyertaan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di kalangan pemuda Melayu dan Islam.

Untuk menjadi ahli kena baiah, dan dalam majlis baiah dan sumpah pula sesetengah kumpulan menetapkan kena ucap bismillah…, mengaku ahli lain sebagai saudara atau umat Islam bersaudara dan patuh kepada perintah agama, termasuk solat dan lain-lain.

Tapi, hakikatnya apabila sudah masuk menjadi ahli, mulalah berlagak, tunjuk riak dan serta-merta menjadi berani – tapi berani pun hanya kerana ramai. Bila kaum lain bawa keluar parang, berselerak lari.

Hukum hakam agama pun sudah tidak dipeduli sedangkan sudah bersumpah.

Sama juga dengan mereka yang bergaduh dalam klip video yang tular di atas. Ada yang kata berlaku di Seremban, ada yang kata berlaku di Gambang. Namun, yang pastinya ia membabitkan Melayu.

Ramai pula tu yang nak pukul seorang. Kalau Pedang ada di situ, insya-Allah Pedang akan nasihat supaya selesaikan secara baik. Tapi kalau tak nak dengar juga, Pedang akan kata ‘kalau dah berani, satu lawan satu lah. Kalau ramai-ramai serbu, gajah pun tumbang’. 

Sepatutnya mereka yang berani dan bergaduh itu adalah pemuda-pemuda yang berada di barisan hadapan umat Islam menentang musuh, bukan berentap sesama sendiri.

Apa-apa pun bawa berbincang sebab masing-masing boleh cakap Melayu. Kita semua satu bangsa, satu agama. Kononnya masalah kecil saja. Kalau sudah masalah kecil, berbincanglah, cari jalan penyelesaian.

Mohon maaf jika ada yang terkhilaf, bukan tangan atau kaki untuk selesaikannya. Malulah sikit pada kaum lain.

Katalah, lelaki berbaju hitam yang dikepung beberapa pemuda itu ada penyakit serius, contohnya sakit jantung. Sekali ditumbuk di muka, dia jatuh, dan sudah tentu ramai-ramai datang menyepak, menendang, kenduri sakan.

Tiba-tiba pemuda berbaju hitam itu meninggal dunia. Apa jadi? Tak pasal-pasal lima enam pemuda yang memukulnya akan ditangkap dan dituduh membunuh.

Walaupun, bila bedah siasat mendapati kematiannya kerana penyakit sakit jantung, tetapi punca yang menyebabkan dia tiba-tiba diserang sakit jantung adalah serangan pemuda-pemuda itu.

Jikapun, terlepas tuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, akan dituduh pula mengikut tuduhan pilihan iaitu membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Kalau yang dituduh itu ada anak isteri, ibu bapa, siapa yang susah? Lepas itu mulalah menyesal. Masa buat tak fikir, bila dah kena baru menyesal. Barulah ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.

Oleh itu, pada kesempatan ini Pedang nasihatkan, supaya janganlah ada lagi Melayu bergaduh dengan Melayu. Jadikan Islam sebagai perisai dalam melakukan apa saja pekerjaan harian.

Melayu sepakat Islam berdaulat.

Kata Pedang: Siapa yang memiliki matlamat hidup dialah orang yang bijak dan berani.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close