Berita UtamaUtama

28 maut ditembak dalam bangunan kerajaan di Kabul

Serangan dipercayai ada kaitan keputusan Presiden AS mahu kurangkan tentera di Afghanistan

KABUL, 17 Rabiulakhir 1440H, Selasa – Sekurang-kurangnya 28 terbunuh manakala 20 lagi cedera selepas beberapa penembak menyerbu bangunan kerajaan, sehingga mencetuskan pertempuran senjata selama 7 jam, malam tadi.

Antara yang terbunuh termasuk seorang anggota polis dan tiga penyerang yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan Afghanistan, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish.

Serangan itu bermula pada sebelah petang, apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta di luar bangunan kementerian perkhidmatan awam.

Beberapa individu bersenjata kemudiannya menyerbu bangunan Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya dan keluarga syahid, dengan menjadikan orang awam sebagai tebusan ketika mereka berperang melawan tentera Afghanistan.

Bagaimanapun, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Dipercayai, serangan itu berlaku beberapa hari selepas pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu mengurangkan bilangan tentera di Afghanistan.

Pegawai-pegawai kerajaan difahamkan berasa terancam daripada rancangan Trump, kerana bimbang ia boleh membahayakan usaha untuk menamatkan perang 17 tahun dengan Taliban.

Pada hari Khamis, seorang pegawai berkata, presiden AS merancang untuk menarik sekurang-kurangnya 5,000 daripada 14,000 tentera AS di Afghanistan.

AS campur tangan di Afghanistan untuk mengusir Taliban dari kuasa setelah serangan 11 September 2001 di World Trade Center di New York dan Pentagon di Washington D.C.

Serangan itu juga berlaku sehari selepas Presiden Ashraf Ghani melantik Amrullah Saleh dan Assadullah Khaled, kedua-dua bekas penyokongnya yang terkenal dengan sikap anti-Taliban dan Pakistan, untuk mengetuai kementerian pertahanan masing-masing. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close