Utama

Mainan politik Tun M masuk fasa tiga, dakwa Puad Zarkashi

Langkah Syed Saddiq desak Waytha Moorthy letak jawatan mungkin dapat mandat Perdana Menteri

BANGI, 16 Rabiulakhir 1440H, Isnin – Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berani mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan, ‘dihidu’ sebagai permainan politik Perdana Menteri. Demikian dakwa bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Dalam satu catatan di Facebook beliau, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila seorang menteri mendesak menteri meletak jawatan.

Ini kerana, katanya, tindakan itu secara tidak langsung seolah-olah menggambarkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pandai kerana melantik individu yang kurang layak sebagai menterinya.

“Bila Menteri suruh Menteri letak jawatan, mesti Syed Sadiq perasan dia lebih hebat dan berprestasi tinggi berbanding Waytha Moorthy. Ini memang pelik sikit, apatah lagi Syed Saddiq dari PPBM suruh Menteri dari Hindraf letak jawatan.

“Kalau Menteri suruh Menteri letak jawatan itu bermakna dia menuduh PM tidak pandai kerana melantik orang yang tidak pandai dan half past six sebagai Menteri,” katanya.

Fuad turut mempersoalkan kemungkinan bahawa langkah berani Syed Saddiq itu, hakikatnya mendapat mandat daripada Perdana Menteri sendiri, kerana ketua Armada Bersatu itu mengaku tidak takut dikenakan tindakan.

“Apakah ini game Tun M yang suruh Syed Saddiq supaya desak Waytha Moorthy letak jawatan?

“Lagi pun A Kadir Jasin (Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri) juga mahu Waytha letak jawatan. Sebab itu Syed Saddiq kata dia tidak takut dikenakan tindakan atas desakannya itu. Pasti dia dapat lampu hijau daripada Tun M,” katanya.

Pada masa sama, Fuad berkata, permainan politik Dr Mahathir kini sedang memasuki fasa ketiga, di mana tiada siapa yang selamat.

“Mungkin Waytha Moorthy kata, kenapa dia sahaja dipersalahkan. Pada beliau polis yang salah. Oleh kerana polis di bawah Tan Sri Muhyiddin (Yassin), apakah Waytha berani mendesak supaya Muhyiddin juga letak jawatan. Games Mahathir masuk fasa III – tiada siapa yang selamat,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close