Berita UtamaUtama

Tauliah penceramah agama kini bawah Gobind?: Asyraf Wajdi

20 ustaz sokong Pakatan Harapan boleh masuk TV dan radio serta diterima sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (Bahagian Agama) Jabatan Perdana Menteri, tapi 10 pendakwah terkenal tanah air disekat

BANGI, 9 Rabiulakhir 1440H, Isnin – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini, mempertikaikan apakah tauliah penceramah agama Islam di Malaysia kini diletakkan di bawah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Pada masa sama, Pemuda UMNO juga kecewa apabila menteri terbabit bersetuju menyekat 10 penceramah popular tanah air daripada bersiaran dalam mana-mana stesen televisyen atau radio.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau terkejut membaca surat daripada pejabat menteri berkenaan yang mengesahkan 10 penceramah agama itu disekat daripada bersiaran di stesen televisyen dan radio.

Antara penceramah berkenaan ialah Ustaz Abdullah Khairi; Ustaz Ahmad Dasuki; Ustazah Nurhafizah Musa; PU Amin; Ustaz Azhar Idrus; Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah; dan Ustaz Samsul Debat. Semua mereka dikatakan cenderung kepada parti pembangkang.

“Memanglah Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menyekat mana-mana pihak cuma yang menjadi persoalan di manakah perjuangan kebebasan bersuara yang dilaung-laungkan sebelum menjadi kerajaan? Atau apakah kebebasan bersuara hanya bersifat terpilih kepada mereka yang menyokong kerajaan PH sebagaimana 20 nama baru yang dikeluarkan.

“Lebih parah lagi apabila hari tauliah ceramah hari ini bukan lagi menjadi milik eksklusif Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang dinaungi Raja-Raja Melayu, tetapi sudah diambil alih oleh Menteri Gobind Singh,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook beliau, hari ini.

Asyraf berkata, daripada senarai 20 penceramah baharu yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang digalakkan untuk mendapat tempat di stesen televisyen dan radio, mereka adalah pendukung Pakatan Harapan (PH).

Ini termasuk bekas calon Parti Amanah Negara (PAN), Ustaz Nik Omar Nik Aziz; Naib Pengerusi PAN Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Che Mohamed; Pengerusi PAN Perlis, Ustaz Zolkharnain Arifin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng daripada PKR, Ustaz Suhaimi Kassim; Ustaz Wan Subki Wan Salleh (Ikram); Ustaz Azrul Hakim Suradi (PAN); dan Ustaz Mohamad Uda Kasim (PAN).

Yang lain ialah Penasihat Jawatankuasa Hal-Ehwal Syariah PAN Kelantan yang juga calon PH Parlimen Tanah Merah, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria; Ustaz Shamshul Maarif Ismail (PAN); Ustaz Abdul Aziz Abbas; Ustaz Zulhazmie Mohammed; Ustaz Nazri Din (PAN); Ustaz Mohd Firdaus Jaafar (PAN); Ustaz Izaz Ismail; Ustaz Ali Muda; Ustaz Mohd Rizal Akhir; Ustaz Rosli Yusuff; Ustaz Abdullah Shahir; dan Ustaz Ridzwan Abu Bakar (PAN).

Mengulas lanjut Asyraf berkata, pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, apa sahaja isu berkaitan agama akan dirujuk dan dirunding terlebih dahulu dengan majlis atau jabatan agama Islam negeri-negeri.

“Malah nama-nama besar yang disekat oleh Gobind Singh tidak pernah dihalang kerajaan terdahulu walaupun jelas kecenderungan mereka kepada pembangkang PAS.

“Melihat senarai nama 20 penceramah baru yang dikeluarkan jelas sekali bahawa kebanyakannya adalah pendukung PH,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan bersuara yang selama ini diuar-uarkan hanyalah omongan kosong yang terpakai untuk kelompok sendiri sahaja.

“Malah lebih teruk lagi apabila kerajaan PH menipu kononnya mahukan penceramah agama yang ‘non-partisan’ tetapi hakikatnya adalah sebaliknya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close