Berita UtamaUtama

‘Tiada masalah jika subjek politik berteras sistem kenegaraan, demokrasi’

Syor had umur mengundi 18 tahun tak sesuai dilaksanakan: iGuru

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) tidak mempunyai masalah jika cadangan untuk memasukkan silibus politik di peringkat sekolah menengah hanya merangkumi sistem kenegaraan dan demokrasi di Malaysia.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, iGuru bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya subjek politik yang dicadangkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar itu adalah satu indoktrinasi politik kepartian sempit, sekali gus menyimpang daripada maksud sebenar.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan itu mesti mendapat pandangan semua pihak termasuklah Kementerian Pendidikan, ibu bapa, pelajar dan masyarakat secara umum.

“Ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru. Murid-murid dan para guru perlu difokuskan kepada pembangunan intelek dan pembentukan sahsiah dahulu sebelum mengheret mereka ke kancah politik, yang dibimbangi membawa kepada masalah lain, apatah lagi sistem pendidikan masih mengekalkan pendidikan vernakular.

“Jika tidak ditangani secara bijak, ia mengundang keresahan dan prejudis sesama kaum dan menghalang pembentukan satu negara bangsa serta membawa kerapuhan perpaduan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mahfuz yang mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya mempertimbangkan untuk memasukkan silibus politik apabila had umur mengundi dibenarkan kepada 18 tahun kelak.

“Saya harap Kementerian Pendidikan selepas ini memikirkan semula di dalam silibus pendidikan sekolah supaya ada pendedahan tentang politik kepada pelajar kerana mereka akan sertai politik negara setahun selepas mengambil SPM,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Mohd Azizee turut berpandangan bahawa cadangan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun belum sesuai dilaksanakan.

“Kalau pun ia ingin dilaksanakan, pihak Kementerian Belia dan Sukan perlu mendapat maklum balas semua pihak dan mengambil kira pelajar yang berada di alam persekolahan.

“Dan jika ia sudah dimuktamadkan serta diluluskan di peringkat Parlimen, sewajar pihak KBS meneliti dan memperhalusi semua aspek supaya pelajar tidak dimangsakan sebagai makmal ujian politik kepartian,” katanya.

4 Disember lalu, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Belia dan Sukan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan hak mengundi diturunkan kepada umur 18 tahun.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close