Berita Utama

Majikan perlu terima sijil digital, elak sesak di CAC

32,070 kes baharu semalam, 99.4 peratus kategori 1 dan 2

KUALA LUMPUR, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Majikan atau pihak yang berkaitan diseru agar menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh isolasi pesakit berakhir, bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan pelaporan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), sejumlah 90 peratus daripada mereka yang hadir ke CAC adalah untuk tujuan discaj daripada HSO, iaitu terdapat pesakit atau majikan yang mendesak untuk mendapatkan notis secara bertulis.

Beliau berkata, 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC bukan untuk penilaian bagi kes yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah. 

“Hal yang sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC iaitu fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.

“Oleh yang demikian, semua majikan diseru untuk peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan RO yang dikemukakan, serta tidak lagi mendesak pekerja untuk mendapatkan pengesahan daripada CAC,” katanya. 

Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata, enam negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan (86 peratus), Johor (59), Labuan (57), Kuala Lumpur (54), Sabah (52) dan Melaka 50 peratus.

Merujuk kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata, 32,070 kes direkodkan dengan 99.4 peratus atau 31,890 kes kategori satu dan dua, manakala 180 kes atau 0.56 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, sebanyak 23,332 kes sembuh dilaporkan, menjadikan kumulatif kes sembuh 3,018,172.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button