Berita UtamaUtama

Analogi Khalid Samad mengenai janji Rasulullah tak tepat

Usah letak beban kesalahan sendiri kepada Rasulullah ﷺ: MUIS

BANGI, 8 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad diingatkan supaya tidak meletakkan bebanan kesalahan yang dilakukan parti politik itu kepada Rasulullah ﷺ.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Ahmad Sanusi berkata, analogi yang mengaitkan janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan kisah umrah Rasulullah ﷺ adalah tidak tepat.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ini kerana keluarnya Rasulullah ﷺ untuk menunaikan umrah pada waktu Hudaibiyyah dikira sebagai umrah, dan ia direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam sahihnya.

“Daripada Saidina Anas, beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah telah menunaikan Umrah sebanyak empat kali, kesemuanya di dalam bulan Zulqaedah melainkan Umrah yang dilakukan bersama ibadah Haji Baginda. Umrah yang pertama adalah Umrah daripada Hudaibiyyah, atau Umrah ketika waktu Hudaibiyyah pada bulan Zulqaedah…,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Khalid hari ini yang memberi contoh kisah Rasulullah ﷺ bagi merujuk kepada kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

Khalid pada ucapan pengulungan Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, di Ipoh hari ini dipetik sebagai berkata:

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji. Nabi ﷺ pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Makkah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Hudaibiyah, tidak dapat. Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa.”

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Sanusi berkata, Imam Ibn Hajar dalam huraian hadis berkenaan menyatakan bahawa umrah pada hari Hudaibiyyah itu juga dikira sebagai salah satu umra yang empat dilakukan oleh Rasulullah ﷺ.

Beliau menjelaskan, menurut Ibn Hajar, umrah itu tidak dianggap sebagai umrah yang rosak yang perlu di qada, bahkan, ia adalah sempurna.

“Atas sebab itu umrah Hudaibiyyah dianggap sebagai umrah yang empat yang pernah ditunaikan oleh Rasulullah ﷺ seperti yang dinyatakan dalam hadis al-Bukhari di atas.

“Pendapat yang sama turut disuarakan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim di dalam Kitabnya Zad al-Maad yang meletakkan umrah Hudaibiyyah sebagai umrah yang pertama Baginda setelah hijrah.

“Beliau seterusnya menjelaskan, apabila Qurasyh menghalang Rasulullah ﷺ, Baginda menyembelih al-Budn (unta Baginda), kemudian Rasulullah ﷺ mencukur kepala, dan bertahallul dari ihram mereka dan pulang ke Madinah,” katanya.

Katanya, melalui huraian Ibn Hajar dan Ibn al-Qayyim itu, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah ﷺ menunaikan umrah pada Hudaibiyyah.

“Dakwaan yang menyatakan Rasulullah tidak menunaikan janji kerana dihalang oleh Quraysh tersebut adalah dakwaan yang tidak tepat.

“Akhir sekali, janganlah kerana kesilapan kita, bebanan ini diletakkan kepada Rasulullah ﷺ,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close