Berita UtamaUtama

Tindakan wakil rakyat Sabah cetus cabaran buat UMNO

Perjuangan bangsa tidak kejar nama, pangkat dan kekayaan: Khaled Nordin

BANGI, 5 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Situasi politik di Sabah perlu menjadi pencetus pembaharuan yang didambakan oleh ahli UMNO dan orang Melayu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menyifatkan perkembangan politik di Sabah yang mana hampir kesemua pemimpin UMNO keluar daripada parti itu sebagai mendukacitakan, beliau berkata, tindakan sedemikian didorong akibat kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan parti setelah tewas dalam pilihan raya lepas.

Khaled berkata, perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana bukan sahaja menyebabkan pengaruh UMNO menjadi lebih parah, malah ia akan mematikan parti perjuangan orang Melayu.

Justeru, katanya, untuk berubah dan bangkit kembali, UMNO tidak boleh terus berdolak-dalik dan hidup dalam penafian, sebaliknya hala tuju serta pemulihan parti mesti menjadi agenda yang diterjemahkan secara tegas dan serius.

“Cuma, saya ingin tegaskan. Selaku pemimpin, kita sepatutnya mempamerkan ketahanan dan kesungguhan untuk bersama-sama membetulkan parti. Andai ada langkah yang canggung, janganlah lantai yang dipersalah. Andai ada yang lemah dalam perjuangan bangsa, janganlah yang dibuang itu wadahnya.

“Jika semuanya tenang, manis dan mudah, itu bukanlah perjuangan untuk bangsa namanya. Tetapi, itu perlumbaan mengejar nama, pangkat dan kekayaan. Dan inilah yang saya lihat berlaku kepada para pemimpin Sabah yang meninggalkan UMNO.

“Mereka tidak mahu bertahan dan kekal dengan kesukaran memulihkan parti yang jatuh dan tewas. Tetapi, memilih jalan keluar yang kelihatan lebih mudah dan lunak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemimpin UMNO seharusnya mengambil tanggungjawab untuk kekal berusaha bersama-sama merawat parti sebagai satu wadah tidak bersalah yang mana pesalah adalah pengemudinya.

“Malah kita mesti dengan segera dan terbuka mengakui bahawa segalanya sangat bercelaru dalam UMNO. Parti ini hanya akan dapat diislahkan dengan kepimpinan yang berwibawa, berkesan dan berintegriti.

“Justeru itu, saya percaya Majlis Tertinggi UMNO akan mencari jalan pencerahan bagi menangani perkara ini,” katanya.

Semalam, UMNO menerima tamparan apabila keseluruhan jawatankuasa perhubungan Sabah, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua bahagian keluar daripada parti itu, dan menyatakan sokongan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hajiji pada sidang media di Kota Kinabalu mengumumkan bahawa beliau bersama lima Anggota Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Senator meninggalkan UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik Bebas.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close