Berita UtamaUtama

SPRM dapat izin dakwa Isa Samad

Bekas Pengerusi Felda hadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen KL esok

BANGI, 5 Rabiulakhir 1440H, Khamis – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9 pagi esok, berhubung siasatan kes pembelian hotel Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Dalam satu kenyataan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya telah mendapat izin mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Beliau akan dituduh pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh FIC.

“Mohd Isa, hari ini hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10.48 pagi bagi menandatangani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun 2013 dan 2015.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai membabitkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close